cabaran hidup rasulullah s.a.w.
Marilah
bersama kita merenung kembali satu peristiwa besar yang begitu
menyayatkan hati, yang telah menimpa rumahtangga Rasulullah SAW. Ini
ialah salah satu perancangan jenayah yang telah dilakukan oleh golongan
munafiqin.
Apabila golongan ini merasakan sudah tiada lagi jalan
untuk menewaskan Islam dengan cara berhadapan, samada secara berperang
atau lainnya, lalu mereka mula menukar strategi perjuangan mereka.
Ini selepas Islam mendapat kemenangan yang besar -dengan pertolongan
Allah- dalam peperangan Badar pada tahun 2H dan pukulan yang sengit juga
menimpa mereka dengan tewasnya tentera Ahzab (Khandak) pada tahun 5H.
Walaupun tentera mereka begitu ramai dan disertai oleh golongan Yahudi,
Quraisy, Arab Badwi dan lain-lain, sehingga dengan kemenangan ini,
Rasulullah SAW telah bersabda:
Maksudnya: “Sekarang kita akan keluar
menyerang mereka, sebaliknya mereka tidak akan datang lagi untuk
menyerang kita (Madinah)”. [Sahih Al-Bukhari No. 4110].
Golongan munafiqin memainkan peranan untuk memecah-belahkan perpaduan
umat Islam. Mereka cuba mengadakan huru hara dalam masyarakat yang aman
damai dengan pelbagai helah dan tipu muslihat. Ini agar umat Islam
sentiasa berada dalam keadaan gelisah dan keluh kesah sehingga mereka
tidak dapat menumpukan sepenuh usaha dan perhatian kepada islah
mujtama’, membaikpulih kerosakan yang berlaku dalam masyarakat dan
menyebarkan dakwah Islamiah.
Kejadian yang amat memedihkan ini
berlaku sekembalinya Rasulullah SAW dari serangan yang dilakukan
terhadap bani al-Mustaliq (المصطلق).
Pada bulan Sya’ban tahun 06H,
bani al-Mustaliq telah mengadakan satu komplot untuk menyerang
Rasulullah SAW. Setelah berita ini sampai kepada Rasulullah SAW, Baginda
keluar bersama tentera Islam. Turut keluar bersama tentera muslimin ini
ramai golongan munafiqin, ini kerana mereka tahu Islam akan mendapat
kemenangan. Mereka keluar bukan untuk berperang, tetapi untuk mendapat
habuan perang (ghanimah).
Tentera Islam dan bani al-Mustaliq bertemu
di suatu tempat bernama al-Muraisi’ (المريسيع), di mana tentera Islam
telah mengalahkan mereka dengan mudah. Dalam perjalan pulang, golongan
munafiqin yang diketuai oleh Abdullah bin Ubai bin Salul, telah cuba
mengapi-apikan kabilah Ansar dan Muhajirin, untuk melagakan dua golongan
Islam ini, tetapi api fitnah ini dapat dipadamkan oleh Rasulullah SAW.
Telah menjadi kebiasaan Rasulullah SAW, apabila keluar bermusafir
Baginda akan mengadakan undian di antara para isterinya, siapakah yang
akan mengiringi Baginda dalam musafir itu. Demikianlah sunnah Rasulullah
SAW mengajar umatnya supaya berlaku adil terhadap semua isteri. Dalam
peperangan ini, yang terpilih adalah Ummul Mukminin Aisyah RA, seorang
yang masih muda dan berbadan kecil.
Setelah tiba di suatu tempat
berhampiran Madinah, Rasulullah SAW bersama para sahabatnya telah
berhenti rehat. Ketika ini, Siti Aisyah telah keluar untuk menunaikan
hajat di suatu tempat yang terselindung daripada pandangan tentera
Islam. Setelah selesai, beliau kembali ke tempat sekedup untanya dan
mendapati rantai lehernya telah terjatuh tanpa disedari. Maka beliau
terus kembali ke tempat tadi untuk mencarinya.
Pada waktu yang sama,
tentera Islam telah diperintahkan supaya meneruskan perjalanan ke
Madinah. Pemandu unta Aisyah menyangka beliau telah berada di atas
sekedupnya dan terus menariknya serta meneruskan perjalanan.
Setelah
Aisyah kembali ke tapak perkhemahan, beliau mendapati rombongan tentera
telah berangkat tanpanya. Maka beliau terus berkelubung dengan hijabnya
dan duduk menunggu di tempat untanya tadi, mudah-mudahan akan datang
orang mencarinya selepas ini. Dalam keadaan cemas itu beliau menangis
sehingga tertidur.
Kemudian datanglah Sofwan bin al-Mu‘attal
al-Sulami yang berada di bahagian belakang rombongan, yang tugasnya
memang mencari dan melihat apa-apa yang tercicir atau tertinggal.
Setelah melihat seorang perempuan di tepi jalan, beliau begitu terkejut
dan terus beristirja’, iaitu menyebut kalimah “Inna Lillahi Wainna
Ilaihi Raji‘uun” [إنا لله وإنا إليه راجعون] dan lebih-lebih lagi apabila
beliau mengenali Siti Aisyah sebelum turunnya ayat Hijab.
Tanpa
berkata sepatah pun, Sofwan merendahkan untanya untuk dinaiki Aisyah dan
berliau berjalan membuntuti unta tersebut. Aisyah RA berkata: “Kami
tidak bercakap walau sepatahpun kecuali istirja’ Sofwan.” Akhirnya
mereka tiba ke tempat rombongan tentera Islam tadi.
Apabila melihat
Aisyah tiba bersama Sofwan, maka golongan munafiqin yang diketuai oleh
Abdullah bin Ubai melihat ini sebagai satu peluang keemasan untuk
menabur fitnah jahat mereka. Mulalah mereka membuat cerita kononnya
Aisyah telah berlaku curang dengan Sofwan. Malangnya tuduhan jahat ini
juga telah termakan oleh sesetengah orang Islam sendiri sehingga ada
yang menjadi ‘pembawa mulut’, menyebar fitnah ini. Sebahagian yang lain
pula mengambil sikap berkecuali dan mendiamkan diri sahaja.
Setelah
tiba di Madinah, telah tersebar ‘Hadis Ifki’ (tuduhan jahat) ini.
Rasulullah SAW sendiri diam tidak bercakap, menantikan wahyu. Baginda
juga telah bertanya pendapat beberapa orang sahabat, ada yang mengatakan
ceraikan sahaja Aisyah dan ada pula yang membelanya. Wahyu pula tidak
turun kepada Rasulullah SAW hampir sebulan. Ini adalah untuk menguji
keimanan kaumnya dan untuk menzahirkan golongan munafiqin.
Setelah
Aisyah RA mendengar berita tersebut, beliau menangis sehingga kekeringan
air matanya, tidak dapat mengeluarakan air mata lagi dan tidak dapat
tidur keduanya. Kata Aisyah: “Aku menyangka tangisanku akan memusnahkan
kehidupanku.”
Hampir sebulan berada dalam keadaan demikian, pada
suatu hari, datanglah Rasulullah SAW ke rumah isterinya Aisyah bersama
ayah dan ibunya. Baginda SAW bersabda kepada Aisyah yang sedang asyik
menangis:
Maksudnya: ((Wahai Aisyah, sekiranya engkau suci daripada
tuduhan ini, nescaya Allah akan membebaskan engkau, sekiranya engkau
tersasar, maka beristighfarlah, sesungguhnya sekiranya seorang hamba
itu bersalah kemudian dia mengakui dan bertaubat, pasti Allah SWT akan
menerimanya.))
Setelah mendengar sabda Rasulullah SAW tersebut,
Aisyah berhenti menangis dan meminta supaya ibu bapanya menjawab bagi
pihaknya, tetapi mereka tidak tahu apa yang harus diucapkan. Beliau lalu
menjawabnya sendiri dengan berkata: “Keringlah airmataku kerana aku
tahu tentang diriku. Kalau aku berkata aku dipihak yang benar, dan Allah
mengetahui perkara yang sebenarnya, tetapi pasti kamu tidak akan
mempercayainya. Tetapi sekiranya aku mengakui sesuatu yang Allah tahu
aku adalah suci darinya, kamu akan mempercayainya. Maka tiada apa bagi
aku dan kamu kecuali apa yang diucapkan oleh bapa nabi Yusuh AS:
Maksudnya: {Maka kesabaran yang baik itulah (kesabaranku). Dan Allah
sajalah yang dimohon pertolongan-Nya terhadap apa yang kamu ceritakan.}
[Yusuf: 18].
Aisyah RA kemudiannya berpaling dan berbaring untuk
berehat. Pada waktu inilah turunnya ayat yang membebaskan Aisyah RA dari
segala tuduhan yang tohmahan dan fitnah ke atasnya. Ia juga menjanjikan
hukuman terhadap golongan yang menuduhnya.
Ini dapat kita baca
sehingga ke hari ini di dalam surah An-Nur: Maksudnya: {Sesungguhnya
orang-orang yang membawa berita bohong itu adalah dari golongan kamu
juga. Janganlah kamu kira bahawa berita bohong itu buruk bagi kamu
bahkan ia adalah baik bagi kamu. Tiap-tiap seseorang dari mereka
mendapat balasan dari dosa yang dikerjakannya. Dan siapa di antara
mereka yang mengambil bahagian yang terbesar dalam penyiaran berita
bohong itu baginya azab yang besar.} [An-Nur: 11]. [Lihat: Tafsir Ibnu
Kathir] Demikianlah secara ringkas kisah fitnah yang dilemparkan ke
atas keluarga Rasulullah SAW.Cuba kita bayangkan betapa besarnya jenayah
yang dilakukan oleh si munafiqin Abdullah bin Ubai dan para
pengikutnya.
1-Bayangkan bagaimana keadaan Rasulullah SAW sebagai
seorang nabi dan rasul. Seorang pemimpin, dituduh isterinya yang
disayangi sedemikian rupa, dikotori tempat tidurnya, dicemari kehormatan
rumahtangganya dengan tuduhan liar sehingga menjadi buah mulut
percakapan orang serata tempat selama sebulan. Sedangkan Baginda tidak
tahu apa yang hendak dibuat dalam kes ini.
2-Lihat pula
bagaimana keadaan Abu Bakar as-Siddiq RA seorang yang benar dalam semua
perkara, seorang yang dihormati dalam masyarakat, anaknya dituduh
sedemikian rupa, sehingga keluar keluhan dari mulutnya, satu ucapan yang
membayangkan satu penyeksaan yang ditanggungnya.
3-Juga Ummu Ruman,
isteri Abu Bakar yang setia, ibu yang baik, anaknya ditinpa tuduhan
palsu yang jahat. Sedangkan telah diasuhnya dengan penuh kasih sayang
dan adab yang sopan.
4-Bagaimana pula perasaan orang yang dituduh, Aisyah
binti as-Siddiq, perempuan yang cukup menjaga kehormatan diri, isteri
yang patuh dan setia, isteri Rasulullah SAW, penghulu segala nabi. Dia
dilempar dengan tuduhan yang sangat kejam, yang tidak berperikemanusiaan
dan tidak ada siapa yang membelanya, menanggung azab sengsara seorang
diri sebulan lamanya. Tidak ada teman hidupnya kecuali tangisan dan
airmata. Berserah diri sepenuhnya kepada Allah, mengharapkan pertolongan
dan bantuan, setelah terputusnya bantuan dari manusia. Betapa azabnya
seorang isteri yang masih muda, menanggung azab seorang diri, sedangkan
suami sendiri kelu lidah dalam perkara ini.
5-Betapa pula
tersiksanya seorang mujahid yang berjuang menegakkan Islam dengan penuh
ikhlas, Sofwan bin al-Mu’attal RA. Beliau telah ditohmah dengan satu
jenayah yang besar, dituduh mengkhianati Rasulullah SAW yang dicintai
dan dihormati, dengan mengadakan hubungan dengan isterinya.
6-Akhirnya
bayangkan bagaimana keadaan masayarakat Islam pada masa itu, semua
berada dalam keadaan keluh kesah tidak tenteram dan berpecah sesama
sendiri dalam kes ini.
Demikian betapa besarnya jenayah membuat
tuduhan palsu dan mengadakan berbagai cara untuk memporak perandakan
ketenangan dan kedamaian umat Islam. Peranan munafiqin dulu dan sekarang
tidak akan terhenti merancang untuk menyusahkan umat Islam. Merek tidak
mahu melihat Islam mendapat kemenangan dan umatnya bersatu padu membina
negara dan mencapai kemajuan akhirnya.
No comments:
Post a Comment