al quran- senaskah

hubungi meor - 0125964886 utk membeli

Nov 17, 2009

apa itu DOA DALAM ISLAM?konsepnya....

1.0 MUQADDIMAH

Manusia yang hidup di zaman mana sekalipun, samada di zaman moden atau zaman yang jauh dari arus pemodenan, begitu juga diperingkat mana pun mereka, samada mereka terdiri dari golongan tua mahupun muda, kaya ataupun miskin, berpangkat atau tidak dan dari bangsa mana sekalipun samada Melayu, Arab, Cina, India, Inggeris dan sebagainya, termasuk samada mereka beragama Islam, bukan beragama Islam, tidak mempunyai apa-apa pegangan agama, tetap menghadapi masalah dalam kehidupan mereka. Cuma yang membezakan antara mereka hanyalah samada masalah itu besar atau sebaliknya.

Oleh yang demikian akan berlaku dalam kehidupan manusia, mereka perlukan bantuan dan sokongan seseorang samada bantuan berbentuk fizikal mahupun sokongan berbentuk emosional, moral dan spritual. Mereka tidak boleh lari dari sunah kehidupan yang memerlukan manusia saling bekerjasama dan bantu membantu dalam menyelesai dan menyempurnkan hajat dan keperluan mereka.

Sehubungan dengan itu, kita akan dapati manusia yang pada peringkat awalnya bersikap sombong dan memperlihatkan dirinya serba sempurna dan tidak memerlukan bantuan sesiapa dalam kehidupan ini, akan kembali kepada fitrah kejadian mereka untuk mendapatkan bantuan serta pertolongan ‘kuasa yang maha tinggi’ yang mereka sebagai ‘Tuhan’ atau ‘God’ atau apa jua makna yang membawa maksud ‘ Suatu Kuasa yang Maha Tinggi Dan Berkuasa’. Pergantungan dan permohonan ini akan lebih ketara sekiranya mereka berada dalam keadaan terlalu cemas dan menakutkan, contoh ketika berada di tengah-tengah lautan yang bergelora, dalam kapal terbang yang sedang menghadapi masalah yang serius, yang berkemungkinan akan terhempas bila-bila masa, dalam kebakaran yang besar yang sukar diselamatkan, dalam suasana peperangan yang dahsyat, ketika menghadapi penyakit keronik yang tidak diharapkan kesembuhannya atau dengan erti kata lain penyakit yang hanya menunggu saat-saat kematian dan lain-lain lagi. Kenyataan ini selaras dengan firman Allah di dalam al-Quran;

Maksudnya ;

“ Dan apabila mereka dipukul ombak yang besar seperti gunung, mereka menyeru dengan penuh keikhlasan kepadaNya, maka tatkala Allah telah menyelamatkan mereka sampai ke daratan, lalu sebahagian mereka masih tetap menempuh jalan yang lurus dan tidak ada yang mengingkari ayat-ayat Kami melainkan oranag yang tidak setia lagi engkar.” (Surah Luqman : ayat 32)

Melalui pembentangan di atas, jelaslah kepada kita betapa manusia amat memerlukan pertolongan dan bantuan Allah untuk membantu mereka, ketikamana mereka berhadapan dengan satu keadaan atau masalah serta kesulitan yang amat mendesak. Di samping itu menjadikan doa sebagai senjata yang ampuh dalam kehidupan mereka dalam menghadapi cabaran, dugaan, ujian dan tribulasi kehidupan.

Doa juga merupakan wasilah bagi insan untuk menyatakan rasa kesyukuran terhadap segala nikmat dan anugerah yang Allah kurniakan kepada mereka di dunia ini, samada yang berbentuk fizikal seperti makanan, minuman, harta, anak-anak dan lain lagi, ataupun dalam bentuk ruhiyah seperti perasaan bahagia, ketenangan, rasa aman dan tenteram dan lain-lain lagi.

2.0 DO’A DALAM KEHIDUPAN SEORANG MUSLIM

Bagi umat Islam, Allah telah mendidik mereka supaya bersegera memohon pertolongan dan bantuan daripadanya dalam apa jua keadaan dan masalah yang mereka hadapi. Samada doa itu berbentuk permohonan agar diperkenankan sesuatu permintaan, samada untuk perkara yang telah berlau, sedang dan akan mendatang atau doa itu berbentuk permohonan agar dilepaskan dari sesuatu mara bahaya atau masalah yang sedang mereka hadapi atau yang akan mereka hadapi di masa akan datang.

3.0 PERINTAH SUPAYA BERDOA

Firman Allah Ta’ala;

Maksudnya :

“Dan Tuhanmu berfirman : “Berdoalah kepadaKu, nescaya akan ku perkenankan bagimu. Sesungguhnya orang-orang yang menyombongkan diri dari menyembahKu akan masuk Neraka Jahannam dalam keadaan hina.”

(Ghafir : ayat 60)

Maksudnya;

“ Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu (Muhammad) tentang Aku (Allah), maka jawablah bahawasanya Aku adalah dekat, Aku kabulkan permohonan mereka yang berdoa apabila dia berdoa kepadaKu. Maka hendklah mereka memenuhi (segala perintahKu) dan hendaklah mereka beriman kepadaKu, agar mereka selalu dalam kebenaran.

(al-Baqarah : ayat 186)

Sabda Rasulullah SAW;

Maksudnya : “ Doa itu adalah ibadah, Tuhanmu telah berfirman, berdoalah kamu kepadaKu, nescaya pasti aku akan perkenankan.”

( Riwayat Abu Dawud, Tirmizi dan Ibn Majah)

Maksudnya;

“ Doa adalah otak atau intipati ibadah”

Imam Bukhari dalam bukunya menyebut hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah bahawa Nabi SAW bersabda:

Maksudnya : “Sesiapa yang tidak memohon kepada Allah, nescaya Dia akan murka kepadanya”

4.0 PERANAN DO’A DALAM KEHIDUPAN MUSLIM

Seperti yang dijelaskan di awal perbahasan mengenai doa, telah dinyatakan bahawa sudah menjadi fitrah manusia nahawa dia hidup dalam keadaan sering mengharapkan perlindungan dan pertolongan Yang Maha Kuasa, apalagi kedudukannya sebagai makhluk di hadapan Khaliqnya (PenciptaNya). Kerana tabiat manusia itu adalah lemah dan tidak berdaya dari semua aspek. Kelemahan dan ketidak upayaan ini boleh diatasi jika manusia mendekat dan menyandarkan dirinya serta berlindung kepada Yang Maha Kuasa, kerana hakikat kekuatan itu secara lahir dan batinnya bersumber daripada Allah Azza wa Jalla.

Oleh yang demikian, manusia tidak boleh terpisah dari Tuhannya, maka manusia perlu mendekatkan diri kepadaNya dengan menyembah dan mengingatiNya di setiap waktu dan tempat. Sedangkan wasilah (cara) untuk mendekatkan diri tersebut adalah melalui perantaraan ‘doa’, sebab dengan berdoa membuktikan penghambaan kepada Allah SWT. Orang yang selalu berdoa bererti dia mengetahui hakikat dirinya dan hakikat Penciptanya yang mesti disembah dan ditaati, seperti ungkapan seorang ulama’ salaf:

“ Siapa mengenal dirinya pasti dia mengenal Tuhannya.”

5.0 PENGETIAN DOA

Perkataan doa diambil dari Bahasa Arab yang merupakan ‘nama terbitan’ (masdar) dari kata kerja (perbuatan) ‘Da’aa, yang secara etimologinya (bahasa) bererti ‘seruan’, panggilan, ajakan atau permintaan.

Jika ditinjau dari segi terminologi (pengertian syara’), doa adalah ‘memohon kepada Allah SWT dengan meminta kebaikan dari sisiNya dengan penuh ketulusan hati dan penuh pengharapan. Pengertian ini dijelaskan oleh Allah dalam beberapa tempat di dalam al-Quran. Antara firmanNya;

Maksudnya “ Berdoalah kepadaku, nescara akan Ku perkenankan bagimu. Sesungguhnya orang-orang yang menyombongkan diri dari menyembahKu akan masuk ke Neraka Jahannam dalam keadaan hina dina.”

(Ghafir: ayat 60)

6.0 KELEBIHAN DAN KEUTAMAAN DOA

6.1 Doa merupakan tali penyambung yang kukuh antara hamba dan RabNya.

6.2 Doa merupakan satu bentuk ibadah kepada Allah

6.3 Doa merupakan satu bentuk zikir kepada Allah SWT.

6.4 Doa merupakan senjata yang ampuh bagi setiap mukmin dalam menghadapi realiti kehidupan.

6.0 ADAB-ADAB BERDOA

  1. Mengikhlaskan hati kepada Allah
  2. Mengangkat kedua tangan ketika berdoa sepertimana yang dilakukan oleh Rasulullah SAW sehingga kelihatan putih dua ketiaknya sebagai tanda kesungguhan kita memohon sesuatu daripada Allah SWT.
  3. Memulakan doa dengan tahmid kepada Allah SWT dan diiringi dengan salawat kepada Nabi SAW, diikuti dengan permohonan apa-apa yang dihajatkan. Doa yang paling utama ialah memohon keampunan dan keredhaan Allah sebelum memohon perkara-perkara yang lain. Permohonan juga boleh dimohon dengan apa-apa bahasa sekalipun. Seelok-elok doa ialah ‘Doa Maksurat’ iaitu doa yang diambil dari al-Quran dan as-Sunnah, atau doa yang dibaca oleh sahabat, para tabiin atau imam-imam yang terkenal kesolihannya dan ketaqwaan mereka kepada Allah.
  4. Mengadap kiblat, kecuali imam kerana imam makruh mengadap kiblat, akan tetapi disunatkan baginya mengadap makmum atau menjadikan rusuk kanannya mengadap makmum dan rusuk kirinya mengadap kiblat.
  5. Memilih waktu-waktu yang mulia seperti berdoa di Hari Arafah, hari-hari di bulan Ramadhan, pada hari jumaat, waktu sahur atau tengah malam, ketika hujan turun, di antara azan dan iqamah, dalam solat fardhu, ketika sujud, selepas solat, ketika imam duduk antara dua khutbah Jumaat, sebelum magrib hari Jumaat, ketika sedang berpuasa dan lain-lain lagi.
  6. Berada dalam keadaan suci zahir (tubuh badan) dan batin (hati) dari perkara-perkara kotor dan maksiat.
  7. Merendah diri dan khusyu’ dan dengan penuh pengharapan agar doa tersebut diterima oleh Allah dan perasaan takut tidak diperkenankannya.
  8. Berdoa dengan penuh kesungguhan dengan penuh keyakinan bahawa doa tersebut akan diperkenankan Allah.
  9. Membaca doa dengan penuh ketenangan dan tidak tergopoh -gapah
  10. Merendahkan suara antara dengan dengan tidak
  11. Pengakuan terhadap segala dosa yang telah dilakukan dan memohon keampunan dariNya
  12. Pengakuan terhadap segala nikmat dan dan bersyukur di atas segala nikmat dan kurniaan tersebut.
  13. Berdoa dengan mengulang-ulangkannya sebanyak 3 kali bagi setiap permintaan dan tidak terburu-buru supaya ia diperkenankannya.
  14. Tidak menyusahkan diri dengan doa-doa yang berunsur sastera (bahasa yang susah)
  15. Memulangkan hak dan meminta maaf daripada orang yang dizalimi serta bertaubat dengan perbuatan tersebut.
  16. Berwudhu’ sekiranya tidak menjadi keberatan dan tidak menyusahkan
  17. Tidak keterlaluan ketika berdoa seperti memohon perkara yang pelek-pelek dan tidak munasabah sebagai seorang hamba Allah dengan nada paksaan agar Allah memperkenankannya.
  18. Bertawassul dengan nama-nama Allah yang Maha baik (Asma’ulla al-Husna) dn sifat-sifatNya yang Maha Tinggi dan dengan amalan soleh yang dilakukan atau dengan meminta seseorang yang soleh yang masih hidup, mendoakannya.
  19. Memastikan makanan dan minuman serta pakaian yang dipakai dari sumber yang halal.
  20. Melaksanakan amar ma’ruf dan nahi mungkar, agar doa kita lebih cepat diperkenankan, lantaran usaha kita membantu agama Allah.
  21. Menjauhkan diri dari segala bentuk maksiat samada zahir mahupun batin.
  22. Mengakhiri doa dengan berselawat ke atas Nabi SAW dan bertahmid kepada Allah SWT.
  23. Hendaklah berdoa untuk kesejahteraan iman, amal dan akhlak diri sendiri terlebih dahulu sebelum berdoa untuk orang lain.

7.0 SYARAT-SYARAT DO’A DIMAKBULKAN

  1. Berdoa dengan penuh keikhlasan dengan terus mengharapkan agar doa tersebut dimakbulkan oleh Allah.
  2. Berdoa dengan penuh kesungguhan dan tidak jemu mengulang-ulanginya.
  3. Berusaha mengelakkan diri dari melakukan perkara yang dilarang dibenci oleh Allah.
  4. Memastikan makanan,minuman dan pakaian yang dipakai dan rezeki yang diperolehi hasil dari usaha yang halal
  5. Memohon kemaafan dari manusia yang pernah kita zalimi atau aniyai, kerana doa seseorang tidak akan dimakbulkan sekiranya mereka menzalimi dan menganiyai orang lain dan tidak mendapat kemaafan dari mereka
  6. Mematuhi adab-adab sebagai seorang hamba yang berdo’a di hadapan Khaliqnya yang Maha Mendengar dan Maha Melihat.

8.0 WAKTU KEADAAN DAN TEMPAT YANG MUSTAJAB UNTUK BERDOA

  1. Malam Lailatul Qadar
  2. Bahagian malam yang terakhir (antara jam 3.00 hingga 6 pagi)
  3. Selepas setiap solat fardhu
  4. Masa di antara azan dan iqamah
  5. Satu waktu di setiap malam
  6. Ketika azan untuk solat fardhu
  7. Ketika hujan sedang turun
  8. Ketika mempersiapkan barisan menuju medan jihad fi sabilillah
  9. Satu waktu di hari Jumaat , pendapat yang paling tepat ialah ketika khutbah dan solat jumaat dan di akhir waktu asar haru Jumaat.
  10. Ketika minum air zam-zam beserta niat yang baik
  11. Ketika sujud
  12. Ketika terbangun di tengah malam dan berdoa dengan doa yang makthur
  13. Ketika tidur dalam keadaan suci dan berdoa
  14. Ketika berdoa
  15. Doa untuk seseorang saudara yang tidak ada di sisinya (ghaib)
  16. Doa di Hari Arafah
  17. Doa ketika seseorang dalam keadaan nazak (hampir meningal dunia)
  18. Doa sesudah pujian terhadap Allah dan selawat ke atas nabi ketika tahiyyat akhir.
  19. Ketika berdoa dengan menggunakan nama Allah Yang Maha Agong ( )
  20. Doa sepanjang bulan Ramadhan
  21. Ketika perhimpunan umat Islam dalam majlis ‘zikrullah’
  22. Doa ketika ditimpa musibah
  23. Doa dengan penuh pertautan hati dengan Allah dan penuh keikhlasan
  24. Doa orang terzalim terhadap orang yang menzaliminya
  25. Doa ibu dan ayah untuk anaknya
  26. Doa anak yang saleh untuk kedua ibubapanya
  27. Doa orang yang sedang bermusafir
  28. Doa orang yang berpuasa sehingga dia berbuka
  29. Doa yang berpuasa ketika sedang berbuka
  30. Doa orang yang terdesak atau terpaksa
  31. Doa pemimpin yang adil (yang melaksanakan syariah Allah dalam pemerintahannya)
  32. Doa ketika berwudhu’ dengan doa makthur mengenainya
  33. Doa selepas melontar Jumrah as-Sughra
  34. Doa ketika melontar Jumrah al-Wusta
  35. Doa ketika berada di dalam kaabah
  36. Doa ketika berada di Safa
  37. Doa ketika berada di Marwah
  38. Doa ketika berada di Masy’aril Haram

9.0 SEBAB-SEBAB DO’A TIDAK DIPERKENANKAN

Suatu ketika seorang lelaki bertanya kepada Ibrahim bin Adham seorang tokoh sufi yang terkenal, aoakah yang menyebabkan doa seseorang tidak diterima oleh Allah, Ibrahim bin Adham menjelaskan;

“Antara sebab doamu tidak diterima Allah ialah;

  1. Kamu menyatakan bahawa kamu beriman kepada Allah, tetapi kamu tidak menunaikan hak-hakNya
  2. Kamu mendakwa bahawa kamu mencintai Rasulullah SAW. Tetapi kamu tidak mengamalkan sunnahnya (dalam kehidupan kamu).
  3. Kamu meyakini bahawa al-Quran itu adalah benar, namun kami tidak mengamalkannya (dalam kehidupan kamu)
  4. Kamu telah banyak menikmati nikmat Allah, tetapi kamu tidak mensyukurinya
  5. Kamu meyakini bahawa iblis dan syaitan itu adalah musuhmu, tetapi kamu menuruti segala tunjuk ajar mereka
  6. Kamu menyatakan bahawa kamu meyakini tentang wujudnya syurga, tetapi kamu tidak berusaha melaksanakan amal yang boleh membawa kamu ke sana
  7. Kamu menyatakan bahawa neraka itu benar, tetapi kamu kamu tidak berusaha menjauhkan diri darinya, bahkan melakukan perbuatan yang bakal mencampakkan dirimu ke sana
  8. Kamu menyatakan bahawa kematian itu adalah satu kebenaran, tetapi kamu tidak bersedia dengan amalan untuk menghadapinya
  9. Kamu bangun setiap pagi dan sering memperkatakan keaiban orang lain, tertapi kamu lupakan keaiban dirimu sendiri
  10. Kamu selalu menghantar jenazah ke kuburan, tetapi kamu langsung tidak mengambil iktibar daripadanya, bahawa kamu juga akan dibawa ke sana.
0 comments

No comments:

Post a Comment