al quran- senaskah

hubungi meor - 0125964886 utk membeli

Nov 23, 2009

liberal

Lima Rukun Pemikiran Islam Liberal

kadang2 aku rasa tiada rasa

Sekularisme
Pemikiran Islam Liberal mengatakan sekularisme tidak bercanggah malah sebahagian dari Islam.

Plurarisme Agama
Semua agama adalah sama di mana semuanya menuju kepada tuhan yang satu. Perbezaan hanya pada cara sampai kepada tuhan tersebut. Agama Islam dan bukan Islam adalah setanding dan sama-sama benar.

Al Quran Baru Edisi Kritis
Al-Quran yang ada perlu diedit kerana dikatakan mempunyai kesalahan dan perlu dinilai secara kritis.

Hermeneutika
Pen’tafsiran’ semula al-Quran menggunakan kaedah ‘hermeneutika’ yang dicelup dari kaedah pentafsiran Bible. Sebagaimana bible dikaji, di mana ayat-ayat yang benar cuba diasingkan dari yang salah , teks al-Quran dikaji dan diubah mengikut selera pentafsir. Menurut kaedah ‘pentafsiran’ ini teks al-Quran tiada bezanya dengan tulisan-tulisan lain dan tidak harus dimuliakan kerana ianya mungkin mengandungi kesilapan.

Feminisme
Perjuangan untuk menyamakan lelaki dan wanita di segala segi. Di antara tuntutannya:

  1. Lelaki perlu beriddah selama 130 hari sebagaimana wanita beriddah.
  2. Wanita diberi kuasa menjatuhkan talak.
  3. Pembahagian pusaka sama di antara anak lelaki dan wanita.
  4. Poligami adalah tidak sah.

Fenomena Pemikiran Islam Liberal dan Implikasinya Kepada Kedudukan Islam dan Penganutnya di Malaysia: Beberap Refleksi

Oleh: Dr. Haji Muhammad Nur Manuty
Pusat Kajian Modeniti dan Masyarakat Sivil (CESMACS) Kuala Lumpur

Mukaddimah

Pada abad 20 yang lalu, gagasan pemikiran modenisme Islam telah digerakkan oleh beberapa tokoh ilmuan dan cendikiawan Muslim ternama seperti as-Syaikh Jamaluddin al- Afghani, as-Syaikh Muhammad ' Abduh, Sayyid Ameer Ali, Syed Ahmad Khan, dan lain-lain. Meskipun niat para reformis itu untuk menjadikan umat Islam maju dalam bidang sains dan teknologi, namun kesan-kesan modenisme yang berakar dari filsafat Barat telah menyebabkan timbulnya kesan-kesan negatif dalam pemikiran Islam. Saat ini kita sedang berhadapan dengan gejala pemikiran Islam liberal. Pada hakikatnya ia adalah kesinambungan dari pemikiran modenisme. Bagaimanapun, wajah pemikiran Islam liberal yang sedang dikembangkan pada masa kini nampaknya lebih radikal dari pemikiran modenisme Islam. Justeru, idea-idea kontroversi dalam perkara-perkara asas Islam sengaja dilontarkan ke khalayak masyarakat Islam. Kertas ini adalah paparan sepintas lalu kerangka-kerangka pemikiran Islam liberal. Kemudian, kita akan membuat fokus terhadap implikasi pemikiran Islam terhadap kedudukan Islam dan para penganutnya di Malaysia.

Pemikiran Mengenai Al Quran

Antara idea kontroversi Islam liberal yang sedang hangat dibicarakan ialah mengenai kemutlakan al-Qur'an sebagai wahyu Ilahi. Nasr Hamid Abu Zayd, seorang penulis Mesir, telah menghasilkan dua buah karya kontroversi. Pertama, Mafhum al-Nass (Penalaran Teks); kedua: Naqd al-Khitab al-Dini (Dekontruksi Wacana Keagamaan). Kedua-dua karya tersebut, menurut Abu Zaid adalah untuk membuktikan bahawa gagasan-gagasan ilmu hermeneutiknya (disiplin yang diambil dari tradisi keserjanaan Barat tentang ilmu kritikan Injil) yang dianggapnya dapat dijustifikasikan kerana ia adalah satu keniscayaan logik.

Dr. Anas Malik Taha, ilmuan di Jabatan Usuluddin dan Perbandingan Agama, UIAM, telah mengakaji secara mendalam pandangan NHAZ itu. Bagi Dr. Anas, Mafhum al-Nass (Penalaran Teks) adalah untuk membuktikan bahawa ianya bukan kerana berlaku pertentangan antara Islam dengan ideologi-ideologi luar, tetapi ia adalah hasil yang terbit dari rahim Islam itu sendiri. (Anas Taha Malik, Ogos, 2004, ms. 29).

Selain itu, Dr. Anas turut menyoroti karya keduanya Naqd al-Khitab al-Dini (Dekonstruksi Wacana Keagamaan). Dalam karya ini, Abu Zaid berhujah bahawa kebangkitan Islam yang disebut-sebut selama ini telah menghasilkan golongan yang membaca teks agama secara kaku dan literal (harfiyyah), bahkan sampai pada tahap pentakdisan, pensakralan serta pengingkaran terhadap tabi'at manusia dan sejarahnya. (Anas Taha Malik, Ogos, 2004, ms. 29). Jadi, adalah jelas bahawa acuan pemikiran NHAZ tidak mengakui apa pun selain dari "akal" (rasionalsime) dalam memahami teks agama. Lalu NHAZ mengagungkan sekularisme dengan mengungkapkan frasa berikut: "la sultana 'ala al-'aql ill al'aql" (tidak ada otoritas terhadap akal kecuali akal sendiri). (Anas Taha Malik, Ogos, 2004, ms. 32).

Selanjutnya, karya Mafhum al-Nas (Penalaran Teks) juga adalah manifestasi keghairahan NHAZ terhadap kepentingan akal dalam memahami teks al-Qur'an. Seorang pengkaji dari Indonesia yang cenderung dengan pemikiran NHAZ telah menyatakan bahawa karya tersebut adalah respons intelektualnya terhadap tafsiran pragmatis dan ideologis atas al-Qur'an setelah beliau meneliti cara gaya pemikiran Mu'tazilah. Dia percaya bahawa dengan mendefinisikan "hakikat objektif" teks, tafsiran ideologi dapat dilakukan semaksima mungkin. (Moch. Nur Ichwan, 2003, ms.20).

Salah satu dakwaan yang telah dilontarkan oleh NHAZ bahawa pandangan-pandangan nya tentang al-Qur'an berdasarkan pada pemikiran 'ulama di masa lalu. NHAZ mendakwa bahawa beliau telah banyak merujuk kepada pemikiran Mu'tazilah. Dalam melakukan kajian terhadap al-Qur'an, selain dari rujukan Mu'tazilah, NHAZ gemar menggunakan pendekatan hermeneutic Barat. Persoalannya di sini, apakah pendekatan hermeneutik boleh digunakan terhadap al-Qur'an? Dalam konteks Bible, sememangnya ia tidak bermasalah. Ini ialah kerana Bible sememangnya dikarang oleh ramai pengarang! Apakah al-Qur'an mahu dijadikan karya kepengarangan? Sesungguhnya, NHAZ dalam idea-idea liberalnya begitu sekali terpengaruh dengan teori hermenuetik Friedrich Schlieimacher (1769-1834).

Dalam Mafhum al-Nass (Penalaran Teks), NHAZ berhujah bahawa Junjungan Muhammad (saas), sebagai penerima pertama wahyu dan sekaligus penyampai teks adalah sebahagian dari realiti masyarakat setempat di Kota Makkah. Jadi, membicarakan Junjungan Muhammad (saas) sebagai seorang penerima wahyu tidak bermakna membicara sebagai seorang penerima pasif. Junjungan Muhammad (saas) adalah terikat kepada faktor sosi-budaya dan sejarah masyarakatnya. (Adian Husaini dan Henri Salehudin, Ogos, 2004, ms. 33-34).

Konsep wahyu di sisi NHAZ seperti yang tercatat dalam karya "Nasr Hamid Au Zaid: Kritik Teks Keagamaan" (2003:70), beliau mendakwa bahawa perkataan-perkataan yang terdapat dalam al-Qur'an bukanlah teks yang turun dari langit dalam bentuk kata-kata sebenar seperti yang masih dipegang kukuh oleh 'ulama tradisonal. NHAZ, sebaliknya mendakwa bahawa perkataan-perkataan yang terdapat dalam al-Qur'an itu adalah merupakan semacam "spirit wahyu" al-Qur'an yang telah disaring melalui Muhammad dan sekaligus dieksperisikan dalam pengucapan intelek dan kemampuan linguistiknya.
Dengan takrif wahyu yang berbeza dengan takrif konvensional para ilmuan Muslim yang muktabar, jelaslah di sini bahawa NHAZ telah meletakkan Junjungan Muhammad (saas) sebagai seorang "pengarang" al-Qur'an. Walaupun Junjungan Muhammad (saas) adalah seorang nabi yang 'ummi, tetapi Baginda dikatakan turut mengolah redaksi al-Qur'an sesuai dengan kondisinya sebagai manusia biasa. (Adian Husaini dan Henri Salehudin, Ogos, 2004, ms. 34).

Di sini jelas sekali bahawa NHAZ ingin menyamakan teks al-Qur'an dengan teks Bible yang selama ini diyakini oleh para sarjana Bible dengan satu tanggapan: "The whole Bible is given by inspiration of God". Pendekatan NHAZ sebenarnya adalah lanjutan dari tradisi orientalis Barat generasi awal seperti Arthur Jeffrey, Montgomery Watt, Richard Burton, Joseph Shact dan lain-lain lagi. Itulah sebabnya, para penganut konsep al-Qur'an versi NHAZ biasanya tidak mahu menyebut "Allah berfirman dalam al-Qur'an". Ini ialah kerana mereka beranggapan bahawa al-Qur'an adalah kata-kata Junjungan Muhammad (saas) atau al-Qur'an adalah karya bersama antara Muhammad dengan Tuhannya. Dengan melepaskan al-Qur'an sebagai kalam suci Ilahi yang ditanzilkan, NHAZ ingin menegaskan bahawa teks apapun termasuklah al-Qur'an adalah produk budaya manusia (Inna al-nass fi haqiqatihi wa jawarihihi muntaj al-thaqafi). (Adian Husain dan Henri Salehudin, Ogos, 2004, ms. 34-35).

NHAZ juga telah mengkritik kaedah pentafsiran al-Qur'an Ahlu Sunnah wa al-Jama'ah dengan membuat kesimpulan-kesimpul an berikut:

(1) Tafsir yang benar menurut Ahlu Sunnah, dulu dan sekarang, adalah tafsir yang didasarkan pada otoriti 'ulama terdahulu;

(2) Kekeliruan yang mendasar pada sikap Ahlu Sunnah, dahulu dan sekarang, ialah kerana usaha mereka mengaitkan "makna teks" dan dalalahnya dengan masa kenabian, risalah, dan turunnya wahyu. Menurut, Abu Zaid, ini bukan sahaja kesalahan pemahaman, tetapi juga merupakan ekspresi sikap ideologi terhadap realiti - suatu sikap yang bersifat keterbelakangan, anti kemajuan dan anti progresif. Justeru, kaum Ahlu Sunnah menyusun sumber-sumber utama penafsiran al-Qur'an pada empat hal: penjelasan Rasulullah (saas), sahabat, tabi'in, dan terakhir tafsir bahasa.(Adian Husaini dan Henry Salehudin, Ogos, 2004, ms. 35-36).

Selain itu persolaan bahasa juga disinggung oleh NHAZ. Belaiu telah mempersoalkan penggunaan bahasa 'Arab di dalam al-Qur'an yang didakwanya telah mencemari kesakralan wahyu itu sendiri. Sebab menurut NHAZ bahasa 'Arab yang digunakan dalam al-Qur'an ini bukanlah diturunkan di tempat yang "kosong". Bahkan, menurutnya, bahasa 'Arab kala itu sudah memilki struktur dan sistem yang tidak dapat dibebaskan dari struktur dan sistem masyarakat Penerapan teori-teori tadi telah menyebabkan Abu Zaid berpendapat bahawa al-Qur'an sebagai textus receptus, iaitu teks manusiawi kendatipun ia mempunyai asal - muasal Ilahiah. Dengan lain perkataan, lontaran pendapatnya yang paling keras ialah bahawa al-Qur'an itu adalah sebuah produk kultural kerana ia menggunakan bahasa kultural iaitu bahasa Arab. (Moch. Nur Ichwan, 2003, ms.2).

Pluralisme Agama

Pemikiran Islam liberal mendukung kuat gagasan pluralisme (jamak) agama-agama. Antara ideolog pluralisme agama ialah Dr. Nurcholis Madjid atau yang lebih dikenali sebagai Cak Nur. Dalam karya Teologi Inklusif Cak Nur (2001), Cak Nur membangunkan epistemologi inklusifnya dengan berhujah bahawa dengan hanya memahami perkataan dan konsep "aslama" atau "pasrah" ke hadrat Tuhan, lain-lain agama selain dari Islam adalah sah. Kepasrahan inilah yang diyakininya sebagai asas "kebenaran" untuk semua agama. Cak Nur seterusnya berhujah dengan ayat 46 Surah al-'Ankabut yang menyebut bahawa semua agama yang benar adalah Islam iaitu sikap berserah diri terhadap Tuhan. (Adian Husain dan Nuim Hidayat, Liberal Islam, Jakarta, 2002, ms. 104). Jadi, bagi Cak Nur, jalan untuk mencapai kebenaran dan keselamatan bukan hanya monopoli mutlak bagi agama Islam. Seseorang itu boleh disebut "Muslim" sekalipun dia tidak beragama Islam.

Justeru, agama-agama lain adalah jalan yang sama-sama sah untuk mencapai kebenaran yang sama." Cak Nur menjustifikasikan lagi hujahnya tadi dengan membuat huraian tentang filsafat 'perennial" yang semakin popular penerimaannya di Indonesia. Katanya setiap agama adalah merupakan ekspresi keimanan terhadap Tuhan yang sama. Ibarat roda, pusat roda itu adalah Tuhan, dan jari-jari itu adalah jalan dari berbagai agama. (Adian Husaini dan Nu'im Hidayat, 2002, ms. 105).

Dalam sebuah makalah yang diterbitkan oleh akhbar Kompas (9hb.April, 2001) yang berjudul: "Nurcholis Majdid: Teologi Inklusif Mengakui Adanya Kebenaran Agama Lain", Cak Nur cuba menjustifikasikan hakikat adanya pluralisme agama dengan mengambil pendapat Ibn Taymiyyah (r.h). Katanya: "Dan itu, tidak ada salahnya. Ibnu Taymiyyah mengatakan sebahagian besar kitab-kitab suci lama itu masih benar. Yang disebut adanya pengubahan itu dalam hal-hal yang bersifat berita. Terutama berita tentang kedatangan Nabi Muhammad (saas)." (Adian Husain Dan Nuim Hidayat, 2002, ms.152).

Satu lagi idea kontroversi Cak Nur ialah penerimaannya terhadap penganut-penganut agama bukan samawi seperti Hinduisme, Buddhism, Sikhs dan lain-lain sebagai "Ahlul kitab". Pandangan tersebut telah disampaikan pada satu diskusi di TIM pada 21 Oktober 1992 dengan judul: "Beberapa Renungan Kehidupan Keberagamaan Untuk Generasi Mendatang". Beliau berkata: "Dan patut kita camkan benar-benar pendapat Sayyid Muhammad Rashid Rida sebagaimana dikutip Abdul Hamid Hakim bahawa pengertian sebahagian Ahlul Kitab tidak terbatas hanya kepada kaum Yahudi dan Kristian seperti tersebut dengan jelas dalam al-Qur'an serta kaum Majusi (pengikut Zoraster) seperti disebutkan dalam sebuah hadith, tetapi juga mencakupi agama-agama lain yang mempunyai suatu bentuk kitab suci." (Dekontruksi Islam . Mazhab Ciputat, Zaman Wacana Mulia, 1999, ms. 9-58.).

Selain dari Cak Nur, Dr. Alwi Shihab, Mantan Menteri Kesejahteraan Sosial Indonesia, seorang lagi tokoh pluralis agama-agama di Indoensia, telah menulis sebuah buku yang berjudul: Islam Inklusif - Menuju Sikap Terbuka Dalam Beragama. Alwi mendakwa bahawa pluralisme agama adalah kerukunan penting demi wujudnya keharmonian hidup antara masyarakat beragama di Indonesia. Justeru, tidaklah wajar bagi seorang pluralis agama untuk mendakwa bahawa kebenaran (the truth) hanya berada di sisi agamanya sahaja. Hanya dengan keberadaan sikap toleransi yang sedemikian, dailog antara agama-agama boleh dilaksanakan dengan lebih berkesan. Selanjutnya Alwi menafikan syari'at sebelumnya telah dihapuskan dengan datangnya agama Islam. Alwi membuat tafsiran baru terhadap ayat 72-73 (Surah al-Ma'idah) yang selama ini ditafsirkan oleh jumhur mufassir dengan tegas menolak lain-lain agama selain Islam. Katanya perkataan "Islam" di sini bermaksud "penyerahan diri" yang bukan sahaja milik eksklusif penganut-penganut Islam, tetapi juga lain-lain agama.

Keradikalan faham pluralisme agama dapat dilihat dalam tulisan seorang lagi ahli akademik Indonesia. Dr. M. Qasim Mathar, dari UAIN, Maksar berkata: "Kita biasa keluar dan meninggalkan paradigma Islam lama yang mengongkong kita dan membangun sebuah paradigma Islam yang lain, dengan membawa al-Qur'an dan kitab suci agama-agama lain dan hadis Nabi yang selalu diukur oleh al-Qur'an." (M. Qasim Mathar, "Keluar Dari Islam Sekarang, Menuju Islam Yang Lain," Jakarta, 2005).

Tafsiran baru mengenai makna pluralisme agama telah menyebabkan munculnya fatwa-fatwa baru di kalangan para pendukung pluralisme agama dengan membenarkan bacaan doa' bersama antara penganut-penganut Islam dan semua agama di Indonesia, kahwin beza agama dan pewarisan beza agama. Fatwa-fatwa golongan Islam liberal telah mengundang perpecahan yang semakin meluas dalam masyarakat Islam di negara yang merupakan majoriti terbesar umat Islam di Indonesia.

Syari'at Islam

Islam liberal menolak syari'at Islam sebagai syari'at Allah (SWT) atau "Divine Law". Justeru, mereka menolak apa sahaja usaha untuk mendaulatkan syari'at Islam di negara-negara Islam seperti Sudan, Pakistan, Malaysia, Indonesia dan lain-lain. 'Abdullah al-Na'im, antara pengkritik keras syari'at Islam, dalam karyanya yang berjudul Towards an Islamic Reformation menganjurkan supaya menolak seluruh aspek pemikiran konvensional mengenai syari'at Islam. Hujahnya ialah syari'at Islam tidaklah dapat dianggap sebgai satu yang suci (profane). Al-Nai'im telah menganjurkan supaya syari'at Islam terutama Islamic Public Law dibaca semula teks asalnya kerana 'ulama fiqh memahami teks secara literal (harfiyyah). al-Na'imi berhujah:
/ have shown that Syari'a was infact constructed by Muslim jurists over the first three centuries of Islam. Although derived from fundamental divine sources of Islam, the Qur'an and Sunna, Syari'a is not divine because it is the product of human interpretation took place within a specific historical context which is drastically different from our own. It should therefore be possible for contemporary Muslims to undertake a similar process of interpretation and application of the Qur'an and Sunna in the present historical context to develop an alternative public law of Islam which is appropriate for implemantation today.(Abdull al-Na'im, Towards an Islamic Reformation, 1989, ms. 186).

Adalah jelas pandangan al-Na'im dan lain-lain pemikir liberal Islam adalah persis dengan pemikiran usang orientalis Barat seperti Goldziher, Scahct dan Coulson yang 'telah menggerakkan idea bahawa syari'at adalah hasil ciptaan para fuqaha' zaman silam. Para orientalis tersebut berhujah kononya syari'at Islam itu hanya baru disusun secara sistematik selama 300 tahun selepas kewafatan Junjungan Muhammad (saas). Mereka mendakwa bahawa fenomena politik pemerintahan Islam begitu kuat mempengaruhi pemikiran fuqaha' dalam syari'at Islam. Jadi, tidaklah mustahil bahawa disiplin fiqh tidak sunyi dari pelbagai kekurangan dan kecacatan kerana ia dipengaruhi oleh nafsu manusia.

Golongan liberal Islam pada saat ini hanya ghairah membicarakan syari'at apabila ianya dikaitkan dengan maqasid syari'ah (tujuan-tujuan syari'at), pembukaan pintu ijtihad seluas-luasnya tanpa meraikan syarat-syarat yang ketat dalam pembuatan ijtihad, menolak otoriti fuqaha' dalam syari'ah serta isu golongan 'ulama bertindak sebgai patriarki (pengawal) dalam hal ehwal Islam, menjadikan isu kewanitaan sebagai satu permasalahan besar dalam syari'at, menentang pembinan negara Islam, menolak hukum hudud secara tuntas, menekankan peri pentingnya kebebasaan berfikir dalam Islam termasuk membenarkan berlakunya pemurtadan dalam masyarakat Islam secara sewenang-wenangnya atas nama HAM.

Feminisme (Gender)

Faham feminisme turut menjadi agenda penting dalam minda liberal Islam. Walaupun isu kesetaraan antara lelaki dan perempuan wajar diberi perhatian seperti yang terpapar perbahasannya dalam al-Qur'an dan Sunnah, tetapi adalah penting untuk menggarap isu feminisme atau gender dengan lebih teliti dan cermat. Di Barat, pemikiran dan gerakan feminisme telah membina sebuah keyakinan sehingga ia menjadi satu dogma bahawa "tidak ada apa pun yang membezakan antara lelaki dengan wanita, sekalipun secara semula jadi." Dengan terdapatnya keyakinan sedemikian, pola-pola pemikiran feminisme dapat disimpulkan dalam perkara-perkara berikut: (a) perbezaan jantina adalah satu ketentuan masyarakat, bukannya berlaku secara tabi'i; (b) wanita hendaklah diberi peluang semaksima dengan hak lelaki dalam semua bidang pekerjaan tanpa berlaku sebarang diskriminasi; (c) lelaki dianggap sebagai golongan "pembenti wanita" atau lebih dikenali dengan istilah "misogynist" ; (d) sistem kekeluargaan yang berasaskan bapa sebagai ketua keluarga (patriarchal system) dicemuh oleh golongan feminis sebagai sistem kekeluargaan zalim yang direncana untuk menzalimi wanita; (e) para ideolog feminis mendakwa bahawa asal muasal pemimpin utama dalam sistem kekeluargaan adalah milik wanita; (f) feminisme berjuang supaya ada kebebasan pengguguran kandungan (aborsi); (g) kerana dorongan marah yang amat bersangatan terhadap kaum lelaki, maka pemikiran radikal fenisme membenarkan supaya batang tubuh mereka hanya boleh dinikmati oleh kaum wanita sahaja. Justeru "lesbianisme" adalah satu protes kaum feminis radikal terhadap kaum lelaki (Md Sidin Ahmad Ishak, Madaniyyat, 2005, ms.9).

Di dunia Islam, pemikiran feminisme telah disebarkan oleh ideolog-ideolog terkenal seperti Fatimah Mernisi (Maghrib), Aminah Wadud (Amerika Syarikat), Nawal Sa'adawi (Mesir), Rifaa't Hassan (Pakistan), Zainah Anwar (Malaysia) dan lain-lain. Sisters In Islam, umpamanya, telah menuduh para tafsiran al-Qur'an oleh para 'ulama' "bias" gender dan merendahkan martabat wanita. Golongan liberalis juga mendakwa bahawa bahkan al-Qur'an sendiri adalah "bias" terhadap wanita. Cak Nur turut menjadikan persoalan gender sebagai salah satu agenda besar pemikiran Islam dewasa ini. Ketika mengalu-alukan penerbitan sebuah buku khus yang berjudul Argumen Kesetaraan Gender- Perspektif al-Qur'an (2001), karangan Dr. Nasaruddin Umar, katanya buku tersebut".. .menggugah kita bahawa realitas pemikiran Islam dewasa ini harus dibebaskan dari bias-bias gender." (Narasuddin Umar, 2001).

Respons Terhadap Pemikiran Islam Liberal

Idea-idea provokatif liberal Islam sememangnya dapat disanggah dengan menggunakan manhaj pemikiran Islami yang muktabar. Bagaimanapun, respons kita sebagai seorang Muslim tidak cukup dengan emosi sahaja. Kita perlu membahaskannya secara terbuka dan objektif kerana faktor suasana yang semakin mencabar pada masa kini. Barangkali antara pendekatan yang terbaik ialah dengan kembali mengkaji metodologi Imam al-Ghazali (r.h). Seperti yang telah terbukti bahawa Imam al-Ghazali telah telah mendapat tentangan hebat dari ahli-ahli falsafat di zamannya. Walau bagaimanapun, Imam al-Ghazali (r.h) telah berjaya menggunakan pendekatan ilmiah bagi menangkis pemikiran rasionalisme yang begitu kuat pengaruhnya pada zaman itu.

Dalam konteks al-Qur'an sebagai sebuah Kitab Suci bagi umat Mam, Profesor Dr. M. M. Al-Azami, seorang ilmuan Muslim di Univeriti Ummul Qura, Mekah, telah menghasilkan sebuah karya yang sungguh tinggi nilai keserjanaanya. Karya tersebut memang layak dinobatkan antara tulisan yang terbaik pada abad ini bagi menyanggah pemikiran kontroversi Islam liberal.

Dalam kata pengantar Penerbit Pustaka Gema Insani, Jakarta, Indonesia, dinukilkan kata-kata berikut: "Dengan buku ini Profesor 'Azami menempatkan dirinya di garda depan sebagai ulama terkemuka pembela kemurnian dan keautentikan Al-Qur'an di tengah-tengah upaya serius kaum orientalis menggempur al-Qur'an. Profesor 'Azami membuktikan bahawa al-Qur'an adalah Kalamullah, mukjizat badi hingga akhir zaman." (M. M. Azami, Sejarah Teks al-Qur'an Dari Wahyu sampai Kompilasi, Jakarta, 2005). Semantara Profesor Mohd. Kamal Hassan, mantan Rektor UIAM, dalam kata pengantar mengenai buku ini, turut mengaprisiasikan karya Profesor 'Azami dengan kata-kata berikut: "..Karya ini sangat penting untuk disemak apalagi dalam cuaca akademis pasca pemerintahan Soeharto yang banyak diwarnai polirisasi pemikiran yang begitu beragama yang, kadang-kadang, cenderung destruktif terhadap kesucian ajaran Islam." (M. M. 'Azami, Sejarah Teks al-Qur'an: Jakarta, 2005, ms. xxiii).

Gagasan Islam liberal nampaknya terjebak dengan filsafat Barat dari segi roh dan kaedahnya yang hanya bertuhan kepada akal (rasionalisme) semata-mata. Atas nama objektiviti dan saintifik, golongan Islam liberal terpengaruh dengan metodologi Barat dan mahu meruntuhkan metodologi keilmuan Islam yang telah diterima pakai sejak ribuan tahun lalu. Adalah suatu yang jelas kepada kita bahawa metodologi keilmuan Islam masih terus utuh kerana ia bertunjangkan al-Qur'an dan al-Sunnah -dua sumber epistemologi yang dapat menghadapi tentangan zaman. Para ilmuan Muslim dalam semua bidang pengetahuan agama ('ulum naqliyyah) dan ('ulum aqliyyah) telah dapat mengembangkan ilmu-ilmu Islam seperti ilmu fiqh dan usul fiqh pada tahap keilmiahan yang tinggi. Keupayaan mereka menghadapi persoalan-persoalan baru yang timbul dalam masyarakat Islam pada zaman silam sehingga ke hari ini adalah kerana mereka dapat memahami dengan jelas dan tepat apa yang diistilahkan sebagai prinsip thabit (perkara yang tetap) dengan mutaghayyir (perkara yang berubah-berubah) dalam sumber-sumber Islam seperti al-Qur'an, al-Sunnah dan Syari'ah.

Jadi, dapatlah kita simpulkan di sini bahawa idea-idea Islam liberal yang kononnya berpaut kepada hujah-hujah al-Qur'an dan al-Sunnah, sebenarnya telah menyimpang dari tafsiran-tafsiran konvensional 'ulama salaf dan khalaf yang muktabar. Dalam hubungan ini, Profesor al-Qaradawi mengingatkan kita supaya berusaha sedaya mungkin untuk menguasai manhaj ilmu-ilmu Islam secara komprehensif sebelum membuat satu-satu rumusan pemikiran baru. Jadi, kita mesti bersikap kritis dan objektif apabila membicarakan pemikiran Islam liberal. Ini ialah kerana pemikiran-pemikiran nadir seumpama itu memang sentiasa ada pada setiap zaman. Fenomena sedemikian itu sudahpun diperingatkan oleh Junjungan Muhammad (saas) bahawa umatnya akan terpecah kepada 73 kelompok, hanya sanya SATU sahaja yang dapat dikategorikan sebagai golongan yang benar.

Akhirnya, seperkara yang menarik perhatian kita di sini bahawa idea Islam telah mengundang Majlis Ulama Islam Indonesia (MUI) dalam fatwanya pada Julai 2005 telah memutuskan bahawa faham sekularisme, liberalisme dan modenisme adalah HARAM di sisi Islam.

Implikasi-implikasi Terhadap Kedudukan dan Penganut-penganut Islam di Malaysia

Apakah implikasi-implikasi idea Islam liberal terhadap kedudukan Islam dalam konteks negara Malaysia dan sekaligus ancamannya terhadap masa hadapan keberagamaan umat? Bagi menjawab pertanyaan tersebut, kita paparkan di sini beberapa senario yang sedang hangat dibicarakan oleh pelbagai pihak.

Isu Artikel 121(lA)
Peristiwa kematian Muhammad Abdullah Murthy, seorang pengembara Gunung Everest, punya hikmah yang tersendiri kepada Islam dan umatnya di negara ini. Protes besaran-besaran masyarakat bukan Islam yang berpengaruh di Malaysia beserta dengan kelompok Muslim liberal adalah membuktikan dengan jelas di hadapan kita bahawa gerakan untuk memencilkan semula martabat Mahkamah Syari'ah di Malaysia sedang hebat menyemarak. Mereka mahu menobatkan semula Mahkamah Sivil warisan penjajahan Inggeris di dalam sistem perundangan negara. Dakwaan mereka ialah berlakunya penafian hak diadili bagi orang-orang bukan Islam dalam kes-kes yang telah melibatkan pertukaran agama "masuk Islam". Kes ini telah dibesar-besarkan pada khalayak antara bangsa bahawa Mahkamah Syariah telah campur tangan urusan hidup orang-orang bukan Islam lalu mendiskriminasikan mereka. Tanpa asas yang kukuh perkara 121 (1 A) telah dipersalahkan. (Demi Masa, ABIM, 15 Mei 2006, ms.4). Apa yang lebih menyedihkan lagi, ada pula beberapa orang Menteri Kabinet Islam yang membuat kenyataan mengguris hati sanubari masyarakat Islam. Dato' Sri Mohd. Nazri Abdul Aziz, Menteri Di Jabatan Perdana telah membuat kenyataan di akhbar-akhbar tempatan pada 16hb. Januari, 2006, dengan kenyataan seperti berikut: "Jika kita membiarkan Mahkamah Syari'ah yang memutuskan isu ini (pertukaran agama), keadilan mungkin tidak terlaksana kerana ia menyebelahi pihak Islam". (Demi Masa, ABIM, 15 Mei, 2006, ms. 5).

Meskipun Dato' Sri Abdullah Ahmad Badawi, Perdana Menteri Malaysia, telah dapat meredakan ketegangan isu sensitif tersebut terutama setelah sembilan orang Menteri Bukan Islam turut menyampaikan bantahan rasmi kepadanya, pengumuman Perdana Menteri di Parlimen Malaysia telah melegakan masyarakat Islam. Katanya Kerajaan Malaysia tidak akan meminda Artikel 121 (IA). Walau bagaimanapun, kelompok liberal Islam masih terus membuat road show di beberapa buah bandar raya di negara ini untuk meneruskan usaha berlakunya pindaan.

Mutakhir pada bulan lalu, Kumpulan Artikel 11, telah berhadapan dengan bantahan besar-besaran dari Badan Anti IFC (gabungan NGO-NGO Islam di Pulau Pinang) setelah mereka mengadakan seminar tertutup di Cititel Hotel, George Town, Pulau Pinang. Badan Anti IFC tidak berpuas hati kerana mereka dihalang tidak boleh menyertai seminar tertutup itu.

Akhirnya 500 orang para pengikut Badan Anti IFC telah menyebabkan pihak keselamatan mengarahkan supaya Kumpulan Artikel 11 membatalkan program tersebut. Kita sememangnya bersetuju dengan kenyataan YAB Perdana Menteri Malaysia bahawa isu-isu antara kaum yang berlainan agama hendaklah ditangani dengan adil dan hati-hati. Bagaimanapun, pandangan Wong Chun Wai, Ketua Pengarang akhbar The Star supaya isu-isu seperti perkahwinan, cerai, penjagaan anak dan upacara pengkebumian diputuskan oleh pimpinan agama-agama di Malaysia adalah jelas menunjukkan bahawa golongan bukan Islam tidak mahu menerima hakikat otoriti Mahkamah Syari'ah sebagai pemutus muktamad dalam semua subjek Islam di dalam negara ini. Pimpinan bukan Islam sekali lagi ghairah menggunakan logik yang salah apabila berbicara tentang otoriti agama Islam di Malaysia. Dalam hal ini, mereka sering menuduh otoriti agama Islam di Malaysia bersikap "holier-than- thou" (anda lebih suci daripada orang lain) serta mempunyai fikiran sempit dari segi pendekatan agama agama seperti tidak mahu menerima pandangan dari lain-lain agama. Sikap yang sedemikian kononnya adalah satu rintangan kepada usaha reformasi isu-isu agama di negara ini. (Sunday Star, 22 Mei, 2006, ms. 31).

Selanjumya golongan bukan Islam dan Muslim liberal juga tidak berpuas hati dengan isu pertukaran agama dari segi undang-undang. Hal ini dapat dilihat dari kes Mahkamah Tinggi Persekutuan yang telah tidak membenarkan Aishah Begum Nahurghani yang telah membuat afidavit untuk keluar dari agama Islam pada 17hb. Januari, 2006. Hakim Datuk Md Raus Shariff telah membenarkan permohonan JAWI untuk menolak permohonan tersebut. Peguam Gobind Singh Deo yang telah mewakili Nanthini (nama Hindu Aishah) berhujah dengan pandangannya yang menyebut bahawa, "Mahkamah Syari'ah adalah lebih rendah dari Mahkmah Tinggi Perseketuan, Sabah dan Sarawak seperti yang telah diperuntukkan dalam perlembagaan. " (New Straits Times, 18 Januari, 20056, ms.17). Dari dua insiden di atas, kita dapat memahami bagaimana perjuangan para 'ulama, ilmuan, ahli-ahli perundangan, NGO-NGO Islam dan lain sejak kemerdekaan negara pada tahun 1957 untuk menaikkan taraf Mahkamah Syari'ah mahu digugat semula.

Penubuhan IFC
Satu lagi usaha untuk mensirnakan kedaulatan Islam di negara ini ialah gagasan masyarakat bukan Islam untuk menubuhkan Inter Faith Council (IFC) atau Majlis Antara Agama-Agama. Antara badan bukan Islam yang menggerakkannya ialah (MCCBCHS) atau (Majlis Kristian Buddha Hindu Dan Sikh Malaysia) melalui memorandum yang telah dihantar ke Majlis Peguam Malaysia pada 21 Ogos, 2001. Tujuan utama IFC ialah untuk menjadi sebuah suruhanjaya yang berkuasa menerima dan melayan aduan berkaitan agama yang boleh dibuat oleh pelbagai pihak. Sebagai sebuah badan berkanun ia mempunyai kuasa undang-undang bagi mengubah ajaran mana-mana agama (terutama sekali Islam), walaupun atas desakan penganut agama lain. IFC berfungsi seperti sebuah mahkamah dan segala keputusannya adalah muktamad. Mahkamah Sivil boleh digunakan sebagai saluran pelaksanaannya. Misalnya, Majlis Agama Islam boleh diperintah oleh Mahkmah Sivil bagi meluluskan perkahwinan gadis Islam yang hendak murtad, atas aduan yang dibuat oleh teman lelakinya yang bukan Islam, supaya mereka boleh berkahwin, tanpa yang bukan Islam itu memasuki Islam. (Harakah, 1-15 Jun, 2006, ms. 10).

Jawatankuasa Kecil Hak Asasi Manusia, Majlis Peguam Malaysia, begitu kuat berfungsi untuk menarik seramai mungkin NGO-NGO Islam menyertainya. Alhamdulillah, kecuali Sisters in Islam, semua NGO-NGO Islam, termasuk pergerakan Just World Movement, telah menarik diri menyertai IFC. Memorandum IFC yang telah didraf semasa persidangan yang telah dianjurkan oleh sebuah pertubuhan Kristian Antara Bangsa yang terkenal bernama Korad Adenuer Foundation (KAF) pada pertengahan tahun 2005. Tuntutan 11 perkara IFC melibatkan secara langsung perkara pokok dalam ajaran Islam iaitu 'aqidah dan syari'ah.

Adalah jelas bahawa gagasan IFC adalah bertujuan untuk mendapat kuasa campur tangan secara langsung dalam urusan rumah tangga agama Islam. Selain itu IFC juga memaksa supaya undang-undang atau norma-norma antarabangsa diguna pakai dalam sebuah negara yang majoriti penduduknya beragama Islam tidak lagi tunduk kepada mahkamah syari'ah dan mahkamahsivil.

Isu Murtad
Para pendukung Islam liberal nampaknya telah kehilangan 'izzat sebagai seorang Muslim. Di kalangan mereka yang terdiri dari peguam-peguam dan ahli-ahli akademik tidak merasa gementar dengan fenomena mutakhir peningkatan jumlah orang-orang Islam yang telah menjadi murtad. Oleh kerana mereka BERIMAN teguh dengan konsep HAM (Hak Asasi Manusia) tajaan Barat, atas nama kebebasan agama dan ekspresi, golongan liberal Islam mengusahakan pelbagai ikhtiar untuk memudahkan mereka menukar agama dari segi bantuan guaman undang-undang. Hari ini mereka amat tidak bersetuju dengan kedudukan Perlembagaan Malaysia yang masih menyukarkan penukaran agama seorang Muslim dan prosedur di Jabatan pendaftaran Negara (JPN). Pada satu ketika usaha mereka untuk meminggirkan identiti Islam dalam kad pengenalan hampir-hampir berjaya. Mujurlah masih ada pihak-pihak tertentu yang berwibawa di kalangan pegawai-pegawai Muslim yang telah berjaya menghalangnya.

Penentangan Terhadap Konsep Dan Perlaksanaan Syari'at Islam
Golongan liberal Islam di negara ini telah menyatakan penolakan mereka terhadap perlaksanaan syari'ah terutama yang berkaitan dengan hukum hudud di Kelantan dan Terengganu. Tanpa menafikan bahawa terdapat beberapa masalah tertentu dalam pelaksanaan hudud di negara ini, sikap kritis dan sinis golongan liberal Muslim telah menyebabkan orang-orang bukan Islam di negara ini meraih peluang dan ruang untuk mengkusutkan lagi kefahaman mereka terhadap syari'at Islam. Hari ini terdapat beberapa ahli parlimen bukan Islam yang begitu vokal menentang syari'at Islam dalam sesi-sesi parlimen. Nampaknya mereka menjadi berani kerana sebahagian besar ahli-ahli parlimen Muslim tidak sensatif dengan keperluan untuk menjelaskan konsep syari'at Islam secara objektif dan komprehensif.

Selain itu fenomena pemikiran Islam juga menampakkan taringnya lagi apabila mereka mengkritik keras tindakan pihak berkuasa JAWI menahan beberapa gadis Melayu yang telah menari bogel di Disco al-Zzauq, Kula Lumpur. Tindakan JAWI dilihat sebagai kasar dan bertentangan dengan kebebasan individu seperti yang diperuntukkan dalam HAM. Sekali lagi, ada menteri-menteri yang beragama Islam membantah tindakan JAWI itu. Golongan liberal Muslim begitu "alergic" dengan polis moral. Dengan lain perkataan, Muslim liberal tidak mahu mendukung prinsip "amar ma'ruf nahi munkar" lagi.

Alasannya ialah kerana Malaysia adalah negara majmuk bangsa dan agama. Baru-baru ini kita dikejutkan lagi dengan kenyataan Dato' Qng Ka Ting Menteri Perumahan Dan Kerajaan Tempatan yang tidak mahu polis moral diwujudkan di dalam institusi Pihak Berkuasa Tempatan bagi mengawal tingkal laku rakyat yang tidak bersopan di khalayak ramai. Piawaian moral yang digunakan hanya apabila seseorang itu bogel, tindakan undang-undang boleh diambil. Selain itu undang-undang negara tidak dapat dikenakan untuk memantau dan membenteras amalan yang tidak bersopan di tempat-tempat awam kerana ianya bertentangan dengan kebebasan individu.

Gerakan Feminisme/Gender
Rang Undang-Undang Kekeluargaan (Wilayah Persekutuan, 2005) yang begitu hangat dibahaskan baru-baru ini di dalam Dewan Rakyat dan Dewan Negara adalah satu lagi manifestasi keaktifan gerakan feminisme di dalam negara ini. Dengan menggunakan jaringan sebahagian ahli-ahli politik, penggubal undang-undang dan media, Sisters in Islam, adalah antara NGO wanita yang paling kuat menentang penggubalan rang undang-undang tersebut. Meskipun Dato' Dr. Abdullah Mohd. Zin, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri telah mengeluarkan kenyataan meminta supaya orang ramai dapat memahami undang-undang tersebut bukan untuk mendiskriminasi wanita Islam. (Utusan Malaysia, 23 Disember, 2006). Meskipun, ada perkara-perkara yang perlu diperbaiki dalam UUKI di Negara ini, namun jalan penyelesaian bukanlah menuduh para penggubal undang-undang Islam di Malaysia sebagai anti wanita dan hanya ingin menegakkan kelakian.

Sisters in Islam mendakwa bahawa penggubalan undang-undang Islam di dalam negara ini bermotif "missiogyni" , ada motif politik dan sentiasa berlindung di belakang tabir "agama". Ramai yang yang mempunyai wibawa kuasa dan kedudukan mengambil sikap "berdiam diri" kerana takut, jahil, taksub dengan kepercayaan diri atau sengaja ingin meraih keuntungan ideologi dan kepentingan politik jangka pendek. Zainah Anwar sekali lagi melihat bahawa rang Undang UUKI yang telah diluluskan di dalam Dewan Rakyat baru-baru ini, selain dari Undang-Undang Hudud di Kelantan dan Terengganu dan Undang-Undang Jenayah Islam mepersoalkan proses pembuatan undang-undang Islam pada hari ini bukan dapat dikategorikan sebagai "Undang-Undang Ilahi" tetapi sebaliknya adalah pembuatan manusia. Merekalah sebenarnya penyusun undang-undang y ang telah melakukan pendrafan undang-undang. Jadi, Zainah menuntut atas nama keadilan supaya ada perdebatan terhadap undang-undang Islam di kalangan orang awam sebelum ianya dikanunkan di parlimen. (New Straist Times, Mac 24,2006).

Reformasi Kurikulum Institusi Pendidikan Islam
Aliran pemikiran Islam liberal telah melakarkan agenda untuk merubah kurikulum pendidikan Islam. Kritikan demi kritikan telah dilontarkan terhadap sistem pendidikan Islam tradisional. Mereka mendakwa bahawa kurikulum yang ada pada hari ini adalah "jumud" (beku) dan bertentangan dengan arus perubahan zaman. Meskipun kita tidak menafikan hakikat perlunya sistem pendidikan Islam pemerintah dan swasta melakukan beberapa penyesuaian dari segi kurikulum, tetapi persoalannya kenapa golongan liberal Islam menunjukkan sikap anti kepada subjek-subjek dalam pengajian Islam (Islamiyyat) seperti fiqh, jihad dan da'wah. Nampaknya golongan Islam liberal ikut sama mendukung titah perintah Amerika Syarikat dan lain-lain negara Barat yang telah mengarahkan bebeberapa buah negara Islam di Timur Tengah, Pakistan, Indonesia dan yang lain-lain supaya tidak lagi membenarkan pelajar-pelajar mempelajari subjek-subjek tersebut mengikut pendekatan konvensional dengan menggunakan alasan punca berlakunya keganasan (terrorism/ al-irhabiyyah) sejak persitiwa 9/11,2001.

Selain itu, golongan Islam liberal juga telah mengajukan pemikiran radikal supaya subjek IJTIHAD menjadi neraca ukuran dalam semua subjek-subjek Islam. Konsep IJTIHAD dalam tanggapan mereka hendaklah dibebaskan semutlaknya dari ikatan-ikatan fuqaha' dan usuliyy. Dalam tahun 2003, satu persidangan antarabangsa yang dikenali dengan nama KALIIF (Kuala Lumpur International Islamic Forum) telah diadakan di Hotel Sheraton Imperial, Kuala Lumpur. Ramai tokoh-tokoh Islam liberal telah mengambil bahagian dalam sebuah seminar yang didalangi oleh beberapa individu dan sebuah organisasi yang aktif menyebarkan pemikiran Islam liberal. Antara resolusi yang telah dibuat ialah anjuran supaya negara-negara Islam melakukan reformasi besar-besaran terhadap sistem pendidikan Islamnya. Model kurikulum IAIN (Institut Agama Islam Negeri) di Indonesia diputuskan sebagai satu-satunya kurikulum pendidikan Islam yang terbaik di dunia Islam pada masa kini kerana pragmatismnya mendukung idea liberalisme.

Dalam hubungan ini, Zainah Anwar, Pengarah Eksekutif, Sisters in Islam, dalam kolum Jumu'at, pada 19 Mei, 2006 lalu di dalam akhbar New Straits Times telah memuji-memuji pencapaian IAIN kerana berjaya melahirkan intelektual Muslim generasi kedua yang berfikiran progresif. Kini mereka menjadi pembuat-pembuat dasar dan aktivis yang mencabar dan menentang penubuhan negara Islam dan perlaksanaan syari'at anjuran kelompok konservatif. Malangnya sukar sekali untuk mendapatkan individu terpelajar seumpama itu di Malaysia. (New Straits Times, Juma'at, 19 Mei, 2006).

Penutup

Akhir sekali, demi menyelamatkan kesucian 'aqidah dan syari'at terutama dalam kalangan generasi muda yang akan mewarisi masa hadapan masa Islam dan umatnya di Malaysia, kita hendaklah beriman kukuh dengan al-Qur'an yang telah ditanzilkan oleh Allah (SWT) dan al-Sunnah sebagai dua sumber utama yang pasti dapat menyelamatkan kehidupan. Justeru, kewajipan umat ialah untuk meningkatkan keupayaan memahami ajaran Islam dengan sedalam mungkin. Hanya dengan penguasaan segala cabang ihnu Islam serta beramal dengan ilmu-ilmu tersebut secara ikhlas, maka Allah (SWT) akan terus membimbing para ilmuan Muslim di atas jalan yang benar. Ingatlah bahawa manusia Muslim yang berpaling dari jalanNya yang lurus pasti akan menemui KERUGIAN yang amat besar pada Hari Akhirat nanti. Ingatlah peringatan al-Qur'an: "laitu orang-orang yang menghalang halangi (manusia) dari jalan Allah dan menginginkan jalan itu menjadi bengkok, dan mereka kafir kepada kehidupan akhirat." (Surah al-'Araf: 45).

Pelbagai usaha wajar kita lakukan. Pendekatan yang terbaik seperti yang dianjurkan oleh para ilmuan Muslim mu'tabar pada hari ini ialah gabungan antara ilmu warisan (al-turath) dan al-mu'asar (kontemporer) . Insya-Allah, Allah (SWT) akan memberi bimbingan (hidayah) kepada kita semua. Wallahu 'alam bis sawab.

Nov 18, 2009

satu Kajian sains: Solat dapat merawat penyakit kritikal.dimanakah diri kita?

HASIL kajian Jabatan Kejuruteraan Biomedikal Universiti Malaya mendapati setiap gerakan solat mempunyai manfaat tersendiri yang mampu meningkatkan tahap kesihatan secara menyeluruh.

Prof Dr Wan Abu Bakar bersama Dr Fatimah dan Ng Siew Chok dengan buku mengenai rahsia solat dari segi sains. Profesor Dr Wan Abu Bakar Wan Abas - Aktiviti Otot

Beliau yang mengkaji aktiviti otot memberitahu manusia perlu sentiasa melakukan regangan dan senaman kerana otot menjadi lebih kuat apabila selalu digunakan.

Katanya, hasil kajian mendapati solat yang membabitkan gerakan tubuh seperti berdiri, tunduk dan bongkok menyamai senaman ringan.

"Kebanyakan otot serta sendi bergerak ketika solat. Umat Islam beruntung kerana solat yang wajib dilakukan setiap hari menyamai aktiviti senaman dan regangan yang memperkuatkan sistem otot dan fizikal tubuh,"katanya.

Malah, katanya solat sama seperti terapi fizikal yang jika dilakukan secara berterusan dan betul menghasilkan kesan positif terhadap tubuh.

Beliau berkata, kajian lebih teliti sedang dilakukan untuk mengenal pasti otot yang aktif ketika solat.

Ng Siew Chok - Isyarat Otak

Beliau berkata, perubahan kimia berlaku apabila otak aktif. Proses kimia yang menyebabkan pergerakan ion atau atom membawa cas elektrik boleh diukur menggunakan elektrod yang diletakkan pada kulit kepala. Sejenis alat, iaitu EEG (Electroencephalography) digunakan untuk mengukur isyarat otak daripada aktiviti elektrik.

"Gelombang otak mempunyai beberapa frekuensi irama yang dipengaruhi oleh keadaan fizikal dan emosi. Jenis gelombang otak Alfa (8-13 Hz) menunjukkan keadaan tenang," katanya

Walaupun bukan Islam, Siew Chok kagum terhadap hasil kajian yang dilakukannya apabila mendapati keadaan dan pemikiran orang selepas bersolat tenang dan menyamai keadaan selepas bangun tidur.

"Ada fenomena menarik dalam solat, iaitu keadaan berdiri seketika sebelum sujud sebagai peringkat paling tenang ketika bersolat. Saya bukan Islam dan diberitahu bahawa keadaan itu adalah tamakninah,"katanya.

Ketika itu, katanya isyarat alfa meningkat secara mendadak yang menunjukkan seseorang itu berada dalam keadaan tenang.

Siew Chok berkata, solat juga meningkatkan penumpuan terhadap sesuatu perkara dan memperkuatkan kuasa otak.

Sehubungan itu, katanya solat membolehkan seseorang itu menyediakan otak untuk lebih bersedia terhadap sesuatu cabaran yang perlu dihadapinya dalam aktiviti harian.

Dr Fatimah Ibrahim - Komposisi Tubuh

Beliau berkata, komposisi tubuh mengandungi empat komponen utama, iaitu tisu aktif, tisu tulang, komponen air dan lemak.

Beliau berkata, ada beberapa kaedah untuk mengukur komposisi tubuh, tetapi kajian itu menggunakan Analisis Penyepadanan Bio yang menghasilkan keputusan tepat, pantas dan selamat, berbanding pengambilan darah.

"Teknik ini tidak digunakan secara meluas di hospital negara ini, tetapi di Amerika Syarikat, teknik ini digunakan untuk menilai status penyakit seperti Aids, diabetes, demam denggi dan pelbagai penyakit kritikal lain,� katanya.

Dalam kajian ini, katanya model untuk mendapatkan komposisi tubuh terbaik adalah dengan melakukan lima perkara, iaitu solat lima kali sehari, memahami maksud bacaan dalam solat, solat berjemaah, rukuk dengan betul (90 darjah) dan melentikkan jari kaki ketika duduk antara sujud dan tahyat akhir.

Dr Fatimah berkata, orang yang tidak melakukan lima perkara ini mempunyai komposisi tubuh yang kurang baik.

Katanya, kajian mendapati secara keseluruhan orang yang solat berjemaah mempunyai kesihatan lebih baik berbanding yang bersolat secara bersendirian.

Diriwayatkan daripada Abdullah bin Umar bahawa Rasullullah bersabda: Sesungguhnya solat berjemaah adalah 27 kali ganda lebih afdal daripada solat bersendirian. (Riwayat Imam Malik, Bukhari dan Muslim).

"Kita mendapati apabila berjemaah, orang yang melakukan solat bersentuh bahu ke bahu. Tubuh manusia seperti bateri. Ketika bersolat, cas tubuh manusia mengalir seperti dalam litar dan akhirnya meneutralkan cas tubuh.

"Sebelum solat, ada orang yang penat dan ada yang tidak penat. Ketika solat, orang yang tidak penat dan mempunyai cas positif akan mengalirkan cas positif kepada orang yang letih dan mempunyai cas negatif,"katanya.

Katanya, ini yang menyebabkan orang yang bersolat jemaah mempunyai badan bertenaga dan lebih tenang.

Dr Fatimah berkata, solat tarawih dan berpuasa juga memberi kebaikan dan ini terbukti berdasarkan kajian yang dilakukan.

Sebelum Ramadan bermula, katanya komposisi badan diukur dan selepas 21 hari berpuasa, komposisi tubuh yang diukur semula mendapati keadaan tubuh sihat seperti kolesterol rendah akibat kadar pembakaran lemak yang meningkat serta paras glukos rendah.

Selain itu, katanya posisi tubuh (posture) dalam solat dapat mengubat sakit pinggang. Malah jika berjumpa doktor, pesakit disuruh melakukan senaman seperti berdiri dan membongkokkan tubuh yang menyamai gerakan solat.

Beliau berkata, keputusan positif itu adalah berdasarkan ukuran saintifik dengan meletakkan beberapa sensor (pengesan) di tulang belakang pesakit untuk melihat isyarat otot.

Katanya, hasil kajian mendapati pesakit yang mengikuti terapi solat selama sebulan, iaitu dengan membuat rukuk 90 darjah, sakit pinggangnya berkurangan.

"Ini membuktikan terapi solat boleh digunakan untuk merawat sakit pinggang. Kita akan menerbitkan buku kedua terapi solat yang bukan saja sesuai untuk wanita normal, tetapi untuk wanita mengandung. Bukan Islam juga boleh mengikuti terapi ini dengan melakukan senaman sama seperti gerakan solat,"katanya.

Jangan terkejut kerana solat boleh merawat Erektil Disfungsi (ED) atau lebih dikenali sebagai mati pucuk, masalah kesihatan yang lelaki amat takut.

Untuk lelaki normal, keupayaan seksual adalah tiga kali penegangan ketika tidur dan volum ketika ketegangan mesti lebih 200 peratus.

"Kajian dilakukan dengan mengukur zakar (pesakit diajar melakukan ukuran). Pada bulan pertama, tiada ketegangan langsung, tetapi selepas melakukan terapi selama dua bulan iaitu dengan melakukan solat tambahan, sudah ada ketegangan dan volum mencapai tahap normal,"katanya.

Beliau berkata, terapi adalah dengan cara melakukan solat sunat sebanyak tiga kali seminggu dengan setiap terapi sebanyak 12 rakaat atau kira-kira 30 minit

Selain itu, katanya antara hasil kajian yang menarik perhatian pakar sakit jantung ialah mengenai kadar denyutan jantung kerana selama ini, kajian saintifik lain menyatakan bahawa kadar denyutan jantung paling rendah adalah ketika berbaring.

"Kajian mendapati ketika solat, keadaan sujud mencatatkan kadar denyutan paling rendah dan lebih baik berbanding ketika baring. Ini menunjukkan posisi tubuh ketika solat adalah bagus," katanya.

Sehubungan itu, katanya kajian akan dilakukan dengan lebih meluas untuk melihat sama ada posisi tubuh ketika solat boleh merawat sakit jantung.

Katanya, pakar jantung gembira dengan hasil kajian itu kerana boleh memperkenalkan terapi solat kepada pesakit jantung untuk melakukan senaman. Ketika ini, setiap pesakit jantung perlu melakukan senaman selama 30 minit setiap hari.-end-

Nov 17, 2009

apa itu DOA DALAM ISLAM?konsepnya....

1.0 MUQADDIMAH

Manusia yang hidup di zaman mana sekalipun, samada di zaman moden atau zaman yang jauh dari arus pemodenan, begitu juga diperingkat mana pun mereka, samada mereka terdiri dari golongan tua mahupun muda, kaya ataupun miskin, berpangkat atau tidak dan dari bangsa mana sekalipun samada Melayu, Arab, Cina, India, Inggeris dan sebagainya, termasuk samada mereka beragama Islam, bukan beragama Islam, tidak mempunyai apa-apa pegangan agama, tetap menghadapi masalah dalam kehidupan mereka. Cuma yang membezakan antara mereka hanyalah samada masalah itu besar atau sebaliknya.

Oleh yang demikian akan berlaku dalam kehidupan manusia, mereka perlukan bantuan dan sokongan seseorang samada bantuan berbentuk fizikal mahupun sokongan berbentuk emosional, moral dan spritual. Mereka tidak boleh lari dari sunah kehidupan yang memerlukan manusia saling bekerjasama dan bantu membantu dalam menyelesai dan menyempurnkan hajat dan keperluan mereka.

Sehubungan dengan itu, kita akan dapati manusia yang pada peringkat awalnya bersikap sombong dan memperlihatkan dirinya serba sempurna dan tidak memerlukan bantuan sesiapa dalam kehidupan ini, akan kembali kepada fitrah kejadian mereka untuk mendapatkan bantuan serta pertolongan ‘kuasa yang maha tinggi’ yang mereka sebagai ‘Tuhan’ atau ‘God’ atau apa jua makna yang membawa maksud ‘ Suatu Kuasa yang Maha Tinggi Dan Berkuasa’. Pergantungan dan permohonan ini akan lebih ketara sekiranya mereka berada dalam keadaan terlalu cemas dan menakutkan, contoh ketika berada di tengah-tengah lautan yang bergelora, dalam kapal terbang yang sedang menghadapi masalah yang serius, yang berkemungkinan akan terhempas bila-bila masa, dalam kebakaran yang besar yang sukar diselamatkan, dalam suasana peperangan yang dahsyat, ketika menghadapi penyakit keronik yang tidak diharapkan kesembuhannya atau dengan erti kata lain penyakit yang hanya menunggu saat-saat kematian dan lain-lain lagi. Kenyataan ini selaras dengan firman Allah di dalam al-Quran;

Maksudnya ;

“ Dan apabila mereka dipukul ombak yang besar seperti gunung, mereka menyeru dengan penuh keikhlasan kepadaNya, maka tatkala Allah telah menyelamatkan mereka sampai ke daratan, lalu sebahagian mereka masih tetap menempuh jalan yang lurus dan tidak ada yang mengingkari ayat-ayat Kami melainkan oranag yang tidak setia lagi engkar.” (Surah Luqman : ayat 32)

Melalui pembentangan di atas, jelaslah kepada kita betapa manusia amat memerlukan pertolongan dan bantuan Allah untuk membantu mereka, ketikamana mereka berhadapan dengan satu keadaan atau masalah serta kesulitan yang amat mendesak. Di samping itu menjadikan doa sebagai senjata yang ampuh dalam kehidupan mereka dalam menghadapi cabaran, dugaan, ujian dan tribulasi kehidupan.

Doa juga merupakan wasilah bagi insan untuk menyatakan rasa kesyukuran terhadap segala nikmat dan anugerah yang Allah kurniakan kepada mereka di dunia ini, samada yang berbentuk fizikal seperti makanan, minuman, harta, anak-anak dan lain lagi, ataupun dalam bentuk ruhiyah seperti perasaan bahagia, ketenangan, rasa aman dan tenteram dan lain-lain lagi.

2.0 DO’A DALAM KEHIDUPAN SEORANG MUSLIM

Bagi umat Islam, Allah telah mendidik mereka supaya bersegera memohon pertolongan dan bantuan daripadanya dalam apa jua keadaan dan masalah yang mereka hadapi. Samada doa itu berbentuk permohonan agar diperkenankan sesuatu permintaan, samada untuk perkara yang telah berlau, sedang dan akan mendatang atau doa itu berbentuk permohonan agar dilepaskan dari sesuatu mara bahaya atau masalah yang sedang mereka hadapi atau yang akan mereka hadapi di masa akan datang.

3.0 PERINTAH SUPAYA BERDOA

Firman Allah Ta’ala;

Maksudnya :

“Dan Tuhanmu berfirman : “Berdoalah kepadaKu, nescaya akan ku perkenankan bagimu. Sesungguhnya orang-orang yang menyombongkan diri dari menyembahKu akan masuk Neraka Jahannam dalam keadaan hina.”

(Ghafir : ayat 60)

Maksudnya;

“ Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu (Muhammad) tentang Aku (Allah), maka jawablah bahawasanya Aku adalah dekat, Aku kabulkan permohonan mereka yang berdoa apabila dia berdoa kepadaKu. Maka hendklah mereka memenuhi (segala perintahKu) dan hendaklah mereka beriman kepadaKu, agar mereka selalu dalam kebenaran.

(al-Baqarah : ayat 186)

Sabda Rasulullah SAW;

Maksudnya : “ Doa itu adalah ibadah, Tuhanmu telah berfirman, berdoalah kamu kepadaKu, nescaya pasti aku akan perkenankan.”

( Riwayat Abu Dawud, Tirmizi dan Ibn Majah)

Maksudnya;

“ Doa adalah otak atau intipati ibadah”

Imam Bukhari dalam bukunya menyebut hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah bahawa Nabi SAW bersabda:

Maksudnya : “Sesiapa yang tidak memohon kepada Allah, nescaya Dia akan murka kepadanya”

4.0 PERANAN DO’A DALAM KEHIDUPAN MUSLIM

Seperti yang dijelaskan di awal perbahasan mengenai doa, telah dinyatakan bahawa sudah menjadi fitrah manusia nahawa dia hidup dalam keadaan sering mengharapkan perlindungan dan pertolongan Yang Maha Kuasa, apalagi kedudukannya sebagai makhluk di hadapan Khaliqnya (PenciptaNya). Kerana tabiat manusia itu adalah lemah dan tidak berdaya dari semua aspek. Kelemahan dan ketidak upayaan ini boleh diatasi jika manusia mendekat dan menyandarkan dirinya serta berlindung kepada Yang Maha Kuasa, kerana hakikat kekuatan itu secara lahir dan batinnya bersumber daripada Allah Azza wa Jalla.

Oleh yang demikian, manusia tidak boleh terpisah dari Tuhannya, maka manusia perlu mendekatkan diri kepadaNya dengan menyembah dan mengingatiNya di setiap waktu dan tempat. Sedangkan wasilah (cara) untuk mendekatkan diri tersebut adalah melalui perantaraan ‘doa’, sebab dengan berdoa membuktikan penghambaan kepada Allah SWT. Orang yang selalu berdoa bererti dia mengetahui hakikat dirinya dan hakikat Penciptanya yang mesti disembah dan ditaati, seperti ungkapan seorang ulama’ salaf:

“ Siapa mengenal dirinya pasti dia mengenal Tuhannya.”

5.0 PENGETIAN DOA

Perkataan doa diambil dari Bahasa Arab yang merupakan ‘nama terbitan’ (masdar) dari kata kerja (perbuatan) ‘Da’aa, yang secara etimologinya (bahasa) bererti ‘seruan’, panggilan, ajakan atau permintaan.

Jika ditinjau dari segi terminologi (pengertian syara’), doa adalah ‘memohon kepada Allah SWT dengan meminta kebaikan dari sisiNya dengan penuh ketulusan hati dan penuh pengharapan. Pengertian ini dijelaskan oleh Allah dalam beberapa tempat di dalam al-Quran. Antara firmanNya;

Maksudnya “ Berdoalah kepadaku, nescara akan Ku perkenankan bagimu. Sesungguhnya orang-orang yang menyombongkan diri dari menyembahKu akan masuk ke Neraka Jahannam dalam keadaan hina dina.”

(Ghafir: ayat 60)

6.0 KELEBIHAN DAN KEUTAMAAN DOA

6.1 Doa merupakan tali penyambung yang kukuh antara hamba dan RabNya.

6.2 Doa merupakan satu bentuk ibadah kepada Allah

6.3 Doa merupakan satu bentuk zikir kepada Allah SWT.

6.4 Doa merupakan senjata yang ampuh bagi setiap mukmin dalam menghadapi realiti kehidupan.

6.0 ADAB-ADAB BERDOA

  1. Mengikhlaskan hati kepada Allah
  2. Mengangkat kedua tangan ketika berdoa sepertimana yang dilakukan oleh Rasulullah SAW sehingga kelihatan putih dua ketiaknya sebagai tanda kesungguhan kita memohon sesuatu daripada Allah SWT.
  3. Memulakan doa dengan tahmid kepada Allah SWT dan diiringi dengan salawat kepada Nabi SAW, diikuti dengan permohonan apa-apa yang dihajatkan. Doa yang paling utama ialah memohon keampunan dan keredhaan Allah sebelum memohon perkara-perkara yang lain. Permohonan juga boleh dimohon dengan apa-apa bahasa sekalipun. Seelok-elok doa ialah ‘Doa Maksurat’ iaitu doa yang diambil dari al-Quran dan as-Sunnah, atau doa yang dibaca oleh sahabat, para tabiin atau imam-imam yang terkenal kesolihannya dan ketaqwaan mereka kepada Allah.
  4. Mengadap kiblat, kecuali imam kerana imam makruh mengadap kiblat, akan tetapi disunatkan baginya mengadap makmum atau menjadikan rusuk kanannya mengadap makmum dan rusuk kirinya mengadap kiblat.
  5. Memilih waktu-waktu yang mulia seperti berdoa di Hari Arafah, hari-hari di bulan Ramadhan, pada hari jumaat, waktu sahur atau tengah malam, ketika hujan turun, di antara azan dan iqamah, dalam solat fardhu, ketika sujud, selepas solat, ketika imam duduk antara dua khutbah Jumaat, sebelum magrib hari Jumaat, ketika sedang berpuasa dan lain-lain lagi.
  6. Berada dalam keadaan suci zahir (tubuh badan) dan batin (hati) dari perkara-perkara kotor dan maksiat.
  7. Merendah diri dan khusyu’ dan dengan penuh pengharapan agar doa tersebut diterima oleh Allah dan perasaan takut tidak diperkenankannya.
  8. Berdoa dengan penuh kesungguhan dengan penuh keyakinan bahawa doa tersebut akan diperkenankan Allah.
  9. Membaca doa dengan penuh ketenangan dan tidak tergopoh -gapah
  10. Merendahkan suara antara dengan dengan tidak
  11. Pengakuan terhadap segala dosa yang telah dilakukan dan memohon keampunan dariNya
  12. Pengakuan terhadap segala nikmat dan dan bersyukur di atas segala nikmat dan kurniaan tersebut.
  13. Berdoa dengan mengulang-ulangkannya sebanyak 3 kali bagi setiap permintaan dan tidak terburu-buru supaya ia diperkenankannya.
  14. Tidak menyusahkan diri dengan doa-doa yang berunsur sastera (bahasa yang susah)
  15. Memulangkan hak dan meminta maaf daripada orang yang dizalimi serta bertaubat dengan perbuatan tersebut.
  16. Berwudhu’ sekiranya tidak menjadi keberatan dan tidak menyusahkan
  17. Tidak keterlaluan ketika berdoa seperti memohon perkara yang pelek-pelek dan tidak munasabah sebagai seorang hamba Allah dengan nada paksaan agar Allah memperkenankannya.
  18. Bertawassul dengan nama-nama Allah yang Maha baik (Asma’ulla al-Husna) dn sifat-sifatNya yang Maha Tinggi dan dengan amalan soleh yang dilakukan atau dengan meminta seseorang yang soleh yang masih hidup, mendoakannya.
  19. Memastikan makanan dan minuman serta pakaian yang dipakai dari sumber yang halal.
  20. Melaksanakan amar ma’ruf dan nahi mungkar, agar doa kita lebih cepat diperkenankan, lantaran usaha kita membantu agama Allah.
  21. Menjauhkan diri dari segala bentuk maksiat samada zahir mahupun batin.
  22. Mengakhiri doa dengan berselawat ke atas Nabi SAW dan bertahmid kepada Allah SWT.
  23. Hendaklah berdoa untuk kesejahteraan iman, amal dan akhlak diri sendiri terlebih dahulu sebelum berdoa untuk orang lain.

7.0 SYARAT-SYARAT DO’A DIMAKBULKAN

  1. Berdoa dengan penuh keikhlasan dengan terus mengharapkan agar doa tersebut dimakbulkan oleh Allah.
  2. Berdoa dengan penuh kesungguhan dan tidak jemu mengulang-ulanginya.
  3. Berusaha mengelakkan diri dari melakukan perkara yang dilarang dibenci oleh Allah.
  4. Memastikan makanan,minuman dan pakaian yang dipakai dan rezeki yang diperolehi hasil dari usaha yang halal
  5. Memohon kemaafan dari manusia yang pernah kita zalimi atau aniyai, kerana doa seseorang tidak akan dimakbulkan sekiranya mereka menzalimi dan menganiyai orang lain dan tidak mendapat kemaafan dari mereka
  6. Mematuhi adab-adab sebagai seorang hamba yang berdo’a di hadapan Khaliqnya yang Maha Mendengar dan Maha Melihat.

8.0 WAKTU KEADAAN DAN TEMPAT YANG MUSTAJAB UNTUK BERDOA

  1. Malam Lailatul Qadar
  2. Bahagian malam yang terakhir (antara jam 3.00 hingga 6 pagi)
  3. Selepas setiap solat fardhu
  4. Masa di antara azan dan iqamah
  5. Satu waktu di setiap malam
  6. Ketika azan untuk solat fardhu
  7. Ketika hujan sedang turun
  8. Ketika mempersiapkan barisan menuju medan jihad fi sabilillah
  9. Satu waktu di hari Jumaat , pendapat yang paling tepat ialah ketika khutbah dan solat jumaat dan di akhir waktu asar haru Jumaat.
  10. Ketika minum air zam-zam beserta niat yang baik
  11. Ketika sujud
  12. Ketika terbangun di tengah malam dan berdoa dengan doa yang makthur
  13. Ketika tidur dalam keadaan suci dan berdoa
  14. Ketika berdoa
  15. Doa untuk seseorang saudara yang tidak ada di sisinya (ghaib)
  16. Doa di Hari Arafah
  17. Doa ketika seseorang dalam keadaan nazak (hampir meningal dunia)
  18. Doa sesudah pujian terhadap Allah dan selawat ke atas nabi ketika tahiyyat akhir.
  19. Ketika berdoa dengan menggunakan nama Allah Yang Maha Agong ( )
  20. Doa sepanjang bulan Ramadhan
  21. Ketika perhimpunan umat Islam dalam majlis ‘zikrullah’
  22. Doa ketika ditimpa musibah
  23. Doa dengan penuh pertautan hati dengan Allah dan penuh keikhlasan
  24. Doa orang terzalim terhadap orang yang menzaliminya
  25. Doa ibu dan ayah untuk anaknya
  26. Doa anak yang saleh untuk kedua ibubapanya
  27. Doa orang yang sedang bermusafir
  28. Doa orang yang berpuasa sehingga dia berbuka
  29. Doa yang berpuasa ketika sedang berbuka
  30. Doa orang yang terdesak atau terpaksa
  31. Doa pemimpin yang adil (yang melaksanakan syariah Allah dalam pemerintahannya)
  32. Doa ketika berwudhu’ dengan doa makthur mengenainya
  33. Doa selepas melontar Jumrah as-Sughra
  34. Doa ketika melontar Jumrah al-Wusta
  35. Doa ketika berada di dalam kaabah
  36. Doa ketika berada di Safa
  37. Doa ketika berada di Marwah
  38. Doa ketika berada di Masy’aril Haram

9.0 SEBAB-SEBAB DO’A TIDAK DIPERKENANKAN

Suatu ketika seorang lelaki bertanya kepada Ibrahim bin Adham seorang tokoh sufi yang terkenal, aoakah yang menyebabkan doa seseorang tidak diterima oleh Allah, Ibrahim bin Adham menjelaskan;

“Antara sebab doamu tidak diterima Allah ialah;

  1. Kamu menyatakan bahawa kamu beriman kepada Allah, tetapi kamu tidak menunaikan hak-hakNya
  2. Kamu mendakwa bahawa kamu mencintai Rasulullah SAW. Tetapi kamu tidak mengamalkan sunnahnya (dalam kehidupan kamu).
  3. Kamu meyakini bahawa al-Quran itu adalah benar, namun kami tidak mengamalkannya (dalam kehidupan kamu)
  4. Kamu telah banyak menikmati nikmat Allah, tetapi kamu tidak mensyukurinya
  5. Kamu meyakini bahawa iblis dan syaitan itu adalah musuhmu, tetapi kamu menuruti segala tunjuk ajar mereka
  6. Kamu menyatakan bahawa kamu meyakini tentang wujudnya syurga, tetapi kamu tidak berusaha melaksanakan amal yang boleh membawa kamu ke sana
  7. Kamu menyatakan bahawa neraka itu benar, tetapi kamu kamu tidak berusaha menjauhkan diri darinya, bahkan melakukan perbuatan yang bakal mencampakkan dirimu ke sana
  8. Kamu menyatakan bahawa kematian itu adalah satu kebenaran, tetapi kamu tidak bersedia dengan amalan untuk menghadapinya
  9. Kamu bangun setiap pagi dan sering memperkatakan keaiban orang lain, tertapi kamu lupakan keaiban dirimu sendiri
  10. Kamu selalu menghantar jenazah ke kuburan, tetapi kamu langsung tidak mengambil iktibar daripadanya, bahawa kamu juga akan dibawa ke sana.
0 comments
Wasiat Al-Banna ke-8, Jauhi bicara aib orang lain
Jauhi bicara aib orang lain

"Jauhkan daripada membicarakan keaiban orang lain atau melukai mereka dalam bentuk apa pun dan jangan berbicara kecuali yang baik," kata Hasan al-Banna.

Imam Hasan al-Bannamenyeru umat Islam, khasnya para da'ie agar menjaga lidah dan semua ini boleh dilakukan dengan meneropong kesilapan dan kelemahan diri mereka sendiri.

Apabila seseorang itu kerap bermuhasabah, meneropong kesilapan dirinya sendiri, mereka akan kurang membicarakan aib orang lain. Dengan ini, terciptalah dunia yang aman.

Bagaimanapun, perihal aib ini adalah termasuk dalam kategori aib peribadi. Namun, dalam hal salahlaku pemerintah yang melakukan kesilapan dalam pentadbirannya, maka hal ini tidaklah termasuk dalam perbincangan ini.

Ini kerana, perihal salahlaku pemerintah itu mestilah dicegah agar mudaratnya tidak akan melimpah ke atas masyarakat manusia seluruhnya.

Sepotong hadis Rasulullah s.a.w menyebutkan bahawa, "Barangsiapa yang menutup aib saudara Muslimnya, nescaya Allah s.w.t akan menutup keaibannya di akhirat kelak."

Jadi, inilah antara kaedah untuk menghalang rahsia dan aib kita didedahkan Tuhan di hari akhirat kelak.

Ada sebab-sebabnya kenapakah kita suka membuka rahsia keaiban orang lain. Kebanyakannya sikap ini bermula daripada perasaan dengki dan iri hati.

Lalu, meluap-luaplah perasaan untuk menjatuhkan maruah, imej dan reputasi orang lain di dalam kerjaya mereka misalnya.

Padahal, keaiban dan kelemahan seseorang itu memang berlaku dalam urusan Allah. Tuhan sendiri telah menyatakan bahawa manusia itu dicipta dalam serbu kekurangan dan mereka tidak sempurna.

"Wa khuliqal insanu dha'ifan - dan diciptakan manusia itu dalam keadaan daif."

Kita sendiri mesti ada kelemahan. Maka sebab itulah persaudaraan itu penting agar dengan itu kelemahan kita akan ditampung oleh kekuatan orang lain. Dan, kekuatan kita menampung kelemahan orang lain.

Tidak ada manusia yang sempurna di dunia ini. Apa yang menjadi masalah ialah manusia itu sendiri berasa dirinya cukup sempurna lalu dia angkuh dengan pemberian Tuhannya.

Maka jelaslah di sini bahawa bahaya lidah berpunca daripada hati yang tidak bersih, suka menghina orang lain kerana berasa dirinya sudah baik.

Sekali peristiwa, tersebutlah kisah di mana Tuhan mahu mencipta makhluk yang baru, iaitu Nabi Adam a.s. Pada ketika itu, diriwayatkan bahawa Iblis pada ketika itu digelar Azazil dan dia menjadi guru kepada para malaikat lantaran kelebihan ilmunya.

Iblis berasakan bahawa tiada orang yang boleh menandingi kesolehannya, kewarakannya dan ilmunya. Sehinggalah dengan tiba-tiba tercipta Adam a.s.

Ekoran cemburu, dengki dan iri hati itulah, maka Iblis sampai sanggup menghina Adam a.s dengan katanya, "Aku lebih baik daripadanya (Adam). Engkau ciptakan aku daripada api dan Engkau ciptakan dia daripada tanah!"

Demikianlah kata Iblis ketika dia diperintahkan Tuhan untuk sujud bersama-sama malaikat ke atas Adam a.s itu.

Jelas di sini. Ketika hati tidak bersih, jiwa dibalut rasa angkuh, maka lidah pun secara tidak langsung akan lebih mudah menghina orang lain.

Sedangkan, jelas wujud arahan di dalam al-Quran yang memerintahkan kita agar jangan hina orang lain. Ini kerana, mungkin yang dihina itu lebih baik daripada si penghina.

Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah sesuatu puak (dari kaum lelaki) mencemuh dan merendah-rendahkan puak lelaki yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah pula sesuatu puak dari kaum perempuan mencemuh dan merendah-rendahkan puak perempuan yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah setengah kamu menyatakan keaiban setengahnya yang lain; dan janganlah pula kamu memanggil antara satu dengan yang lain dengan gelaran yang buruk. Amatlah buruknya sebutan nama fasik (kepada seseorang) sesudah ia beriman. Dan (ingatlah), sesiapa yang tidak bertaubat (daripada perbuatan fasiknya) maka merekalah orang-orang yang zalim.

Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang; dan janganlah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah kamu suka makan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu patuhilah larangan itu) dan bertaqwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha mengasihani.

[al-Hujurat: 11 - 12]

Perbaiki hubungan persaudaraan
Maka, wasiat Hasan al-Banna yang ke-8 ini barangkali sumber, asas dan dasarnya digali daripada surah al-Hujurat yang merincikan nilai-nilai moral dan akhlak yang sepatutnya dijunjung dan diwarisi oleh umat Islam seluruhnya.

Dengan menjaga lidah, maka hubungan persaudaraan terpelihara. Ini kerana, masing-masing orang tidak akan mencederakan perasaan orang lain melalui kata-kata.

Dan, inilah sebenarnya yang diperjuangkan oleh Hasan al-Banna. Iaitu, mengembangkan rasa persaudaraan Islam sejagat. Dengan lidah persaudaraan terhakis dan melalui lidah jugalah ikatan persaudaraan kembali terjalin.

Hubungan ukhwah, perpaduan antara Islam ini jangan dilihat dari sudut yang kecil saja seperti hubungan kejiranan dan hubungan di tempat kerja semata-mata.

Yang lebih mustahak, ialah kita menyelami hasrat dan keinginan Imam Hasan al-Banna ini yang mahukan Islam itu menjadi 'ustaz' kepada alam ini. Pada tahap itu, umat Islam di dunia adalah murabbi, pengasuh dan pendidik di dunia.

Demikianlah tingginya cita-cita beliau itu. Jadi, hubungan ukhwah persaudaraan Islam ini tentunya bersifat menjelajah ke antara benua, merentas sempadan negara-negara Islam. Mungkin, yang lebih utama ialah bagaimanakah mahu membentuk ikatan persaudaraan antara pemimpin-pemimpin dan umat Islam seluruhnya.

Kita melihat, tiadanya kesepakatan antara Negara-negara Islam sendiri dalam isu Palestin yang ditindas. Umat Islam di Patani dan lain-lainnya.

Tapi, tiada pula percakaran dan pertengkaran yang besar-besar antara Negara-Negara Islam. Kalau pun ada, ia melibatkan kes perang Iraq dan Iran pada satu masa dahulu. Maka hendaknya persefahaman antara pemimpin negara Islam dapat dijalin bersama bagi menyatukan tindakan mereka pada masa hadapan.

Berkatalah yang baik-baik sahaja
Akhirnya Hasan al-Banna berwasiat, jika kita ingin berbicara, maka pastikanlah bahawa isi dan inti percakapan itu cuma yang sarat terisi dengan kalimah yang baik-baik sahaja, menyeru ke arah kebaikan dan mengajak orang-ramai meninggalkan segala yang merosakkan amalan, fikiran dan jiwa dan anggota tubuh badan.

Baginda Rasulullah s.a.w bersabda, ".. sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, maka katakanlah hal-hal yang baik atau lebih baik diam sahaja." Apabila seseorang itu berdiam, dia akan terus-menerus berzikir, berwirid. Semua ini menunjukkan bahawa waktu seseorang Muslim itu sangat berharga dan setiap masa yang berlalu tidak digunakan ke arah yang tidak berfaedah.

Apabila berbicara, mereka mengungkapkan hal-hal yang baik-baik. Jika berdiam diri, mereka akan berzikir secara rahsia. _